Anda di sini

Pemuda miliki kerambit di kawasan awam diarah jalani perintah khidmat masyarakat 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda berusia 20 tahun diarah menjalani perintah khidmat masyarakat selama dua tahun selepas mengaku bersalah memiliki kerambit di kawasan awam pada Jun tahun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menetapkan hukuman ke atas tertuduh selepas menilai laporan sosialnya yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh diarah menjalani perintah khidmat masyarakat selama 200 jam di bawah Seksyen 293(1)(e)(i) Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Tanah Puteh di Siburan, didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Leputan dan Senjata Berbahaya 1958, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan.

Menurut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di pekarangan sebuah sekolah di Siburan, dekat sini pada 22 Jun 2022 sekitar jam 12.20 tengah hari.

Berdasarkan fakta-fakta kes, tertuduh yang menunggang motosikal mendekati seorang pelajar berumur 15 tahun yang sedang menunggu bapanya menjemputnya.

Ketika bapa pelajar terbabit tiba, tertuduh cuba mengacukan kerambit ke arah bapa pelajar itu.

Bagaimanapun, bapa pelajar terbabit menyedari perbuatan tertuduh dan bertindak pantas melontarkan botol ke arahnya menyebabkan dia terkejut lalu cuba melarikan diri.

Pelajar dan bapanya juga cuba menangkap tertuduh tetapi dia berjaya melarikan diri.

Rentetan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditahan pada hari sama sekitar jam 2.40 petang.

Siasatan polis mendapati insiden itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman tersebut mengesahkan tertuduh melakukan kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement