Anda di sini

Pembangunan program KAFA di Sabah terus diperkasa

Advertisement
 Mohd Arifin (tengah) menerima replika cek peruntukan Skim Pinjaman Buku Teks KAFA daripada Idris (dua kiri) pada majlis itu.
PERUNTUKAN: Mohd Arifin (tengah) menerima replika cek peruntukan Skim Pinjaman Buku Teks KAFA daripada Idris (dua kiri) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Pembangunan Pendidikan Islam khususnya program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Sabah akan terus diperkasakan menerusi agensi Islam negeri Sabah bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu bagi memastikan generasi muda terus mendapat peluang pendidikan terutama dalam bidang al-Quran dan fardhu ain.

Katanya, kerajaan negeri melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi fokus kepada pembangunan modal insan iaitu aset dalam menentukan masa depan negara.

Menurutnya, membangunkan modal insan adalah satu kewajipan dan keperluan dalam menghadapi era globalisasi masa kini.

"Dalam mendepani tranformasi pendidikan yang semakin kompleks dan mencabar, pemerkasaan dalam membangun dan memperkukuh sistem pendidikan Islam khususnya program KAFA yang memfokuskan pendidikan rendah juga harus dimajukan.

"Semua pihak yang terlibat dalam tadbir urus pendidikan perlu berfikiran kreatif dan kritis untuk mengejar perubahan demi perubahan seiring pendidikan arus perdana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutupan Multaqa Guru KAFA Negeri Sabah 2022 anjuran JAKIM di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.

Hajiji berkata, peranan guru-guru KAFA amat besar dan penting dalam membentuk generasi pelapis yang berilmu, beriman, berakhlak serta beramal dengan gaya hidup Islam.

Selain itu jelasnya, semua pihak seperti ibu bapa, guru, masyarakat dan kepimpinan di setiap peringkat perlu mengambil bahagian dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut berharap bantuan Skim Pinjaman Buku Teks yang akan diberikan secara percuma kepada murid-murid KAFA di Sabah akan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih efektif.

Menurutnya, guru-guru KAFA akan dapat mengajar dengan lebih mudah, murid-murid akan lebih tekun dan bersemangat dalam mempelajari ilmu agama di kelas-kelas KAFA khususnya di negeri ini.

Beliau optimis, kerajaan Persekutuan akan terus prihatin dan komited terhadap keperluan dan kebajikan warga KAFA seluruh Malaysia dan tidak ada yang dibelakangkan atau diketepikan. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) iaitu salah sebuah agensi agama di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meluluskan peruntukan sebanyak RM1,675,968 bagi Skim Pinjaman Buku Teks KAFA secara percuma kepada murid-murid KAFA di Sabah.

"Inilah komitmen saya kepada pendidikan KAFA, apa sahaja ruang yang ada untuk membantu kebajikan para guru dan anak-anak pelajar, saya dan JAKIM akan berusaha bersungguh-sungguh walaupun kita sedar keputusan akhirnya adalah tertakluk kepada agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

"Jumlah guru KAFA di Sabah adalah seramai 2,490 orang dengan 48 orang penyelia. Daripada jumlah itu, kebanyakan guru KAFA adalah lepasan dari Pusat Latihan Dakwah Kudat dan Keningau yang kini dikenali sebagai Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) JAKIM.
 
"Jumlah premis pula sebanyak 898 premis dengan jumlah murid seramai 43,244 orang. JAKIM membelanjakan sekitar RM34 juta bagi membayar elaun guru KAFA Negeri Sabah setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, ia turut bukti kesungguhan kerajaan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan asas agama sejak dari usia kanak-kanak. 

Menurutnya, bagi memastikan keperluan-keperluan semasa, JAKIM selaku agensi penyelaras akan terus berusaha memperkasakan KAFA melalui pelbagai inisiatif meliputi pengurusan, kebajikan, latihan, keselamatan premis dan aspek prasarana.
 

  • oleh
  • Advertisement