Anda di sini

Pelajar cedera akibat termometer di makmal sekolah pecah

Advertisement
 Anggota bomba membersihkan sisa tumpahan merkuri menggunakan serbuk sulfur di lokasi kejadian.
OPERASI: Anggota bomba membersihkan sisa tumpahan merkuri menggunakan serbuk sulfur di lokasi kejadian.

PAPAR: Seorang pelajar perempuan mengalami kecederaan selepas sebuah termometer pecah di bilik makmal salah sebuah sekolah menengah di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, kejadian terbabit mengakibatkan berlakunya tumpahan merkuri.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi. 

"Pasukan bomba bertindak membersihkan sisa tumpahan merkuri menggunakan serbuk sulfur dan dimasukkan ke dalam beg pakai buang untuk tindakan pelupusan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang berumur 16 tahun itu dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada jam 10.13 pagi.

Dalam kejadian berasingan, satu kejadian kebakaran melibatkan suis utama berlaku di sebuah sekolah rendah di pekan Tenom hari ini.

Bagaimanapun, kebakaran terbabit dipadamkan oleh guru sekolah berkenaan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian. 

"Tiada operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba selain hanya membuat pemeriksaan. Operasi terkawal pada jam  8.12 pagi dan ditamatkan pada jam 8.35 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
 

  • oleh
  • Advertisement