Anda di sini

Orang ramai kembali saksi 'perang', aset tentera selepas pandemik COVID-19

Advertisement
Anggota elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada pasukan Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Udara (PASKAU), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) melakukan demontrasi menyelamatkan tebusan dan menawan semula aset-aset ATM pada Perbarisan Tempur dan Demonstrasi Aset ATM sempena Hari ATM di Pengkalan Udara Kuantan, hari ini. - Gambar BERNAMA
Anggota elit ATM yang terdiri daripada pasukan GGK, PASKAU, PASKAL dan Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) melakukan demontrasi menyelamatkan tebusan dan menawan semula aset-aset ATM pada Perbarisan Tempur dan Demonstrasi Aset ATM sempena Hari ATM di Pengkalan Udara Kuantan, hari ini. - Gambar BERNAMA

KUANTAN: 'Perang' di Pangkalan Udara di sini, yang berlangsung bermula Sabtu lepas, menarik kehadiran hampir 15,000 orang awam dengan semuanya teruja menyaksikan ketangkasan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan operasi menyelamat tebusan dan memusnahkan ancaman 'musuh', sempena sambutan Hari ATM ke-89. 

Acara kemuncak pada perbarisan tempur dan demonstrasi udara itu adalah yang pertama dibuka semula kepada orang awam sejak pandemik COVID-19, dengan kali terakhir ia dilakukan ialah menerusi Karnival Hari ATM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak pada 2019. 

Teruja untuk membawa anak menyaksikan pesawat tempur di depan mata, menyebabkan pekerja swasta Nurliyana Aziz, 35, hadir dari Terengganu bersama anaknya Damia Irdina Qaisara Muhammad Izzudin, 6, dan Umar Haris, 4, yang masing-masing tidak bermasalah untuk bangun pagi. 

"Semalam lagi kami sudah sampai Kuantan dan menetap di hotel berhampiran kerana saya jangka keadaan lalu lintas sesak sebab pasti ramai teruja macam kami...sejak 6.30 pagi tadi kami sudah beratur untuk masuk ke pangkalan udara ini. 

"Rasa seronok kerana anak-anak teruja dan tak henti-henti bercakap bila lihat pesawat tempur dalam jarak dekat...adegan letupan juga menjadikan demostrasi lebih menarik, seperti adegan perang yang biasa ditonton dalam televisyen," katanya.

Bagi penjawat awam, Muizuddin Mohd Rosli, 31, bukan hanya anak kecil malah beliau juga begitu teruja menyaksikan demostrasi udara itu yang disifatkannya sebagai turut menambah pengetahuan mereka sekeluarga mengenai aset ATM. 

Meskipun perlu merempuh kesesakan trafik untuk ke pangkalan, Muizuddin menyifatkannya sebagai 'berbaloi' kerana demonstrasi yang berlangsung selama 45 minit itu 'hidup' menyebabkan mereka sekeluarga berasa masa berlalu begitu singkat. 

Suri rumah, Roskamisah Jawat, 52, pula mengambil kesempatan membawa suaminya Ahmad Nazri Othman, 62, yang berkerusi roda akibat angin ahmar untuk 'mengambil angin' dengan menyaksikan persembahan warga ATM memandangkan acara itu berlangsung hampir dengan rumahnya. 

Ibu kepada tujuh anak itu teruja untuk hadir kerana deruman pesawat pejuang dan 'letupan bom' jelas kedengaran dari rumahnya sejak Sabtu, dan hari ini merupakan waktu yang tepat untuk ke situ kerana beranggapan pengunjung kurang disebabkan hari bekerja. 

Markas ATM menerusi kenyataan memaklumkan dua segmen dipertontonkan pada sambutan tahun ini iaitu perbarisan tempur yang berkonsepkan statik daripada gabungan tiga perkhidmatan ATM iaitu tentera darat, laut dan udara.

Turut diadakan ialah demonstrasi keupayaan aset dan kompetensi Pasukan Khas ATM terdiri daripada Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) serta simulasi serangan udara yang mempamerkan kesiagaan aset dan kompetensi juruterbang ATM buat julung kalinya.

Antara pesawat yang terlibat ialah pesawat pejuang SU-30MKM, F/A-18 D, BAE Hawk, pesawat pengangkut C130 serta Helikopter EC 725 AP, AW 139 selain Helikopter Fennec serta Meriam Oerlikon dan Radar Sykguard, manakala Kenderaan Perisai ADNAN, Gempita dan Sistem Pelancar Roket Berganda atau ASTROS dipamerkan di kawasan perbarisan. 

Perbarisan tempur dan demonstrasi yang melibatkan 1,887 warga ATM itu turut menyediakan ruang pameran statik daripada tiga perkhidmatan ATM yang diharapkan masyarakat dapat mengenali pasukan itu dengan lebih dekat.

Sambutan tiga hari yang bertemakan 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama' itu disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang selain turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. - BERNAMA 

Advertisement