Anda di sini

Korea Utara tembak misil balistik ke Laut Timur

Advertisement
 Orang ramai menonton skrin televisyen yang memaparkan siaran berita dengan rakaman fail ujian misil Korea Utara di stesen kereta api di Seoul, semalam. - Gambar AFP
ANCAMAN: Orang ramai menonton skrin televisyen yang memaparkan siaran berita dengan rakaman fail ujian misil Korea Utara di stesen kereta api di Seoul, semalam. - Gambar AFP


       
SEOUL: Korea Utara semalam melepaskan sebutir misil balistik yang tidak dikenal pasti ke Laut Timur, menurut pihak tentera Korea Selatan, hanya beberapa hari selepas sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) yang berkuasa nuklear tiba sebelum latihan bersama.

“Korea Utara menembak satu misil balistik yang tidak dikenal pasti,” Ketua Turus Bersama di Seoul menyatakan awal semalam tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.

Pelancaran itu, sebahagian daripada beberapa ujian senjata yang memecah rekod pada tahun ini oleh pihak Utara, juga muncul selepas laporan menyatakan bahawa Pyongyang akan bersedia untuk melepaskan tembakan misil balistik yang dilancarkan kapal selam.

Pengawal pantai jepun turut mengesahkan kemungkinan pelancaran misil balistik, memetik maklumat kementerian pertahanan Jepun di Tokyo, dan memberikan amaran kepada kapal-kapal agar berjaga-jaga.

“Kapal-kapal harus berwaspada bagi maklumat baharu dan sekiranya anda mengesan sebarang objek asing jangan menghampirinya sebaliknya harus memaklumkan pihak pengawal pantai,” kata pengawal pantai berkenaan.

Badan penyiaran awam Jepun NHK menyatakan objek yang muncul telah jatih di luar zon ekonomi eksklusif di Jepun.

Pada Jumaat, kapal USS Ronald Reagan yang berkuasa nuklear dan beberapa kapal kumpulan serangannya berlabuh di bandar pelabuhan selatan Busan, sebahagian desakan oleh Seoul dan Washington untuk membolehkan lebih banyak aset strategik AS beroperasi di wilayah berkenaan.

President Korea Selatan Yoon Suk-yeol, yang memegang jawatan itu pada Mei lepas, berjanji akan memperkukuh latihan ketenteraan bersama AS selepas diplomasi yang gagal selama beberapa tahun dengan Korea Utara di bawah pemimpin sebelum beliau.

Kapal USS Reagan akan mengambil bahagian dalam latihan bersama di luar pantai timur di Korea Selatan pada bulan ini.

Washington merupakan sekutu utama keselamatan di Seoul dan mengerahkan kira-kira 28,500 anggota tentera di Korea Selatan bagi melindunginya dari Utara.

Kedua-dua negara itu telah lama melakukan latihan ketenteraan bersama yang ditegaskan bersifat pertahanan sepenuhnya namun Korea Utara melihatnya sebagai latihan pencerobohan.

Pegawai Korea Selatan dan AS telah memberikan amaran selama beberapa bulan bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sedang bersedia untuk melakukan satu lagi ujian nuklear.

Pada Mei lepas, pihak Utara melakukan ujian tembakan misil balistik jarak dekat dari Sinpo, pelabuhan kapal tentera laut utama di Korea Utara.

Rejim terasing itu telah melakukan ujian senjata nuklear sebanyak enam kali sejak 2006.

Ujian terakhir yang paling kuat pada 2017 di mana Pyongyang mendakwa sebagai satu bom hidrogen, mempunyai liputan anggaran sehingga 250 kiloton. - AFP

Advertisement