Anda di sini

Hujan berterusan di Sabah, Sarawak dan Labuan hari ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Labuan hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan kawasan terlibat di Sarawak adalah Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.

Sementara itu, di Sabah melibatkan kawasan Pantai Barat iaitu Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud; pedalaman meliputi Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort; Kudat serta Labuan. 

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah Barat, Labuan dan Sabah Timur mulai hari ini hingga Jumaat dengan kelajuan angin 40 hingga 50 kilometer/jam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter.

MetMalaysia juga memaklumkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu dalam tempoh 28 hingga 30 Sept kesan daripada Taufan Noru yang kini berada di utara Filipina seterusnya dijangka bergerak ke barat menuju Vietnam.

Berikutan itu, tiupan angin barat di rantau ini dijangka meningkat berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF); Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. - BERNAMA 

Advertisement