Anda di sini

Generasi muda harap bajet 2023 bersifat ‘Mesra Belia’

Advertisement
KHAIRUL, YUSOF
KHAIRUL, YUSOF

TAWAU: Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan pada 7 Oktober ini diharapkan dapat memberikan sinar baharu kepada rakyat di seluruh negara.

Tahun 2023 dilihat sangat mencabar kerana keadaan ekonomi negara masih dalam pasca-COVID-19 dan memerlukan perbelanjaan yang lebih tinggi.

Belia adalah golongan yang memerlukan perhatian lebih daripada kerajaan menerusi bajet 2023 nanti kerana ada dalam kalangan mereka yang sudah mula menanggung pelbagai komitmen.

Rata-rata generasi muda yang ditemui sangat mengharapkan bajet kali ini lebih mesra belia untuk membantu mereka selepas tamat pengajian.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau, Khairul Anwar Junus berkata, bajet 2023 nanti diharapkan dapat meneruskan dan meningkatkan lagi geran perniagaan untuk belia.

Katanya, kebanyakkan belia mahu menceburi bidang perniagaan, tetapi modal yang terpaksa ditanggung semakin meningkat setiap tahun.

“Saya mengambil contoh geran TUBE adalah sebanyak RM15,000 maksimum setiap tahun dan jumlah itu masih tidak mencukupi untuk memulakan perniagaan yang berimpak sederhana.

“Justeru, saya mengharapkan program TUBE dapat diteruskan dan gerannya juga ditingkatkan sehingga sekurang-kurangnya RM25,000,” katanya.

Selain itu, katanya, diskaun bayaran balik PTPTN dapat diteruskan tahun hadapan dengan kadar yang ditingkatkan untuk pembayaran secara direct debit/Potongan gaji dan pembayaran secara keseluruhan.

“Diskaun itu bagi menggalakkan lagi peminjam-peminjam PTPTN untuk membayar balik hutang pendidikan mereka.

“Saya juga mengharapkan supaya nilai bantuan BKM dapat ditambah khususnya untuk golongan B40 sejajar dengan peningkatan kos sara hidup hari ini,” katanya.

Yusof Pg. Abd Kasim pula berkata sebagai belia mahukan kerajaan terus menjamin ekonomi dan kelangsungan hidup generasi muda pada bajet yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

Menurutnya, kerajaan perlu memikirkan untuk memberikan peruntukan yang boleh meningkatkan ekonomi dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada belia.

“Saya mengharapkan bajet kali ini akan memberikan peruntukan untuk menjalankan latihan pembangunan belia dan persekitaran ekonomi seimbang.

“Kita mahukan belia dapat peluang-peluang latihan supaya boleh melahirkan tenaga kerja mahir dan mampu bersaing,” katanya.

Yusof juga mahukan kerajaan terus melaksanakan gaji minimum RM1,500 dan memberikan perlindugan insuran khususnya untuk belia yang bekerja di sektor swasta.

SHAHIDAH, FARIHAIN
SHAHIDAH, FARIHAIN

Bagi Shahidah Mohd Lipai, katanya bajet kali ini perlu memberikan penekanan soal peluang-peluang pekerjaan untuk belia bagi mengatasi masalah pengangguran di negara ini.

“Saya mengharapkan kerajaan menubuhkan pusat Pembangunan Belia Harapan di Sabah sebagai koordinator bagi belia menyampaikan sebarang isu dan keperluan generasi muda.

“Selain itu, kerajaan perlu memberikan bantuan kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), setaraf dengan yang diterima golongan kategori bujang,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam Atas, Nurul Farihain Ahmad Fauzan pula berharap bajet kali ini dapat memberi fokus kepada peruntukkan yang melibatkan generasi muda dan pelajar.

“Kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap keperluan dalam sektor pendidikan terutamanya menaik taraf sistem capaian internet di seluruh negara.

Generasi celik IT masa kini sangat mengharapkan peningkatan tahap capaian internet kerana corak pembelajaran sudah banyak bergantung dengan kemahiran kendiri,” katanya.

Katanya, peruntukan yang lebih juga perlu untuk menggantikan segala peralatan fizikal di sekolah yang sudah usang dan perlu diperbaiki atau diganti.

“Sistem pembelajaran dalam kemudahan yang lengkap serta terkini dapat menjamin mutu pengajaran dan pembelajaran yang optimum kepada semua pelajar,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement