Anda di sini

Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Perkembangan Penulisan Puisi Bumi Kenyalang

Advertisement
 

Oleh Zainal Abidin Haji Suhaili

Pendahuluan
Dunia penulisan karya sastera di Sarawak semakin berkembang maju setelah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan cawangannya di negeri ini pada tahun 1977 dan mengambil alih Biro Kesusasteraan Borneo. Hal ini wajar dan sesuai dengan sebahagian daripada matlamat utama penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan dan mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa kebangsaan dan lain-lain.
     Menurut Hajijah Jais dalam buku Wajah Sastera Sarawak (terbitan DBP, 1988), semenjak DBP Cawangan Sarawak ditubuhkan, pelbagai kegiatan pengembangan sastera telah dilaksanakan. Setiap kegiatan atau projek pengembangan yang dirancang, diatur dan seterusnya dilaksanakan mempunyai matlamat-matlamat tersendiri, iaitu untuk memupuk minat dan penghayatan masyarakat di Sarawak terhadap sastera kebangsaan, untuk membina bakat penulisan kreatif dan meningkatkan mutu karya sastera kebangsaan di Sarawak, dan untuk memperbanyak bahasa penerbitan sastera kebangsaan di Sarawak.
     Memang tidak adil untuk mengatakan bahawa dunia penulisan sastera berkembang pesat di Bumi Kenyalang ini atas usaha DBP Cawangan Sarawak semata-mata. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang boleh menafikan peranan penting yang telah dimainkan oleh DBP Cawangan Sarawak ke arah pencapaian tersebut. Tulisan ini akan membicarakan secara ringkas tentang perkembangan penulisan puisi sejak DBP Cawangan Sarawak ditubuhkan. Tulisan ini tidak mungkin mampu mencakupi semua secara lengkap kerana ruang lingkup tempoh 45 tahun terlalu panjang dan keterhadan bahan rujukan. Mungkin ada nama penyair dan judul buku yang tercicir daripada penelitian. 
     Lama sebelum bertapaknya DBP di Sarawak, sejarah sastera Melayu moden Sarawak bermula dengan terbitnya novel Hikayat Panglima Nikosa pada tahun 1876 tulisan Ahmad Syawal Abdul Hamid. Novel yang dicetak di sebuah kilang di Kuching ini dianggap oleh beberapa pengkaji dan sarjana sastera sebagai novel pertama yang pernah diterbitkan di tanah air. Selepas itu berlaku kevakuman yang panjang sehingga tahun 1930 apabila akhbar Fajar Sarawak diterbitkan sebanyak dua kali sebulan. Akhbar yang diusahakan oleh Muhammad Rakawi Yusuf, Yusuf Haji Abd. Rahman, Mohd. Johari Anang, Haji Mohd. Daud Abd. Ghani dan Mohd Awi Anang ini terbit pada 1 Februari 1930 hingga 16 Jun 1930 dan turut memuatkan syair dan cerita.
     Pada tahun 1932, muncul novel Melati Sarawak tulisan Muhammad Rakawi Yusuf. Haji Muhammad Bujang pula menulis cerpen, puisi dan rencana dengan nama pena, Melati Sarawak pada tahun 1930-an. Karyanya disiarkan dalam Warta Ahad, Warta Malaya, Warta Jenaka, Al-Hikmah dan Utusan Sarawak. Utusan Sarawak (nama asal, Utusan Asas) terbit pada tahun 1948 sehingga tahun 1971 dan menyiarkan antaranya ialah sajak, cerpen dan ulasan karya. Biro Kesusasteraan Borneo yang ditubuhkan pada tahun 1958 menerbitkan 36 buku berbahasa Melayu dalam pelbagai genre dari tahun 1964 sehingga 1976. Antara penulis buku tersebut ialah Madzhi Johari, Salbiah Painah, Latifah Haji Shebli, Maliah Shebli, Ahmad Sabu dan Erham Sahari. 
     Selepas DBP bertapak di Sarawak, lahir pula beberapa buah persatuan penulis yang banyak membantu dan bekerjasama dengan DBP Cawangan Sarawak dalam kegiatan bahasa dan sastera. Pada tahun 1979, muncul Angkatan Penulis dan Karyawan Sastera Sarawak (Angkatan Karya) di Kuching yang diasaskan oleh Saie Driss, Mohammad Driss dan Sejali Mohammad. Pada tahun 1980 pula Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) didaftarkan di Miri. Persatuan ini diasaskan oleh Jeli Bohari Biha dan penulis lain seperti William Chan, Muradi Amir, Jamalulalam Shani, Benedict Talip dan lain-lain lagi. 
     Pada tahun 1982, terbentuknya Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS). Persatuan yang bergabung di bawahnya ialah PEBAS (Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak ditubuhkan pada tahun 1970), PUTERA, ANGKATAN KARYA dan Kemudiannya AKAL (Angkatan Karyawan Limbang) dan BENAK (Angkatan Nadwah Bersatu Sri Aman). Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) pula ditubuhkan pada tahun 2004 dan masih aktif sehingga kini. Kebanyakan ahli persatuan penulis tersebut ketika itu juga merupakan penyair, sama ada yang mapan atau muda. Mereka ini telah merancakkan kegiatan penulisan puisi dengan pelbagai gaya pengucapan dan pemikiran. DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama persatuan-persatuan penulis telah berusaha membina penulis muda dengan mengadakan pelbagai bengkel penulisan di seluruh Sarawak.

Penyair Sarawak dan Penerbitan Karya
Pada dekad 70-an, 80-an dan 90-an, negeri Sarawak memiliki jumlah penyair yang ramai jika dibandingkan penulis dalam genre lain seperti cerpen dan novel. Menurut Jeniri Amir dalam buku Arus Mutakhir Sastera Kenyalang (1994), negeri Sarawak kaya dengan penyajak dan penyair. Tidak ada sesiapa yang berani menafikan hakikat ini, sementelahan jika dibandingkan dengan penulis cerpen, novel, drama dan kritikan. Kesuburan kuntum puisi yang berputik dapat dibuktikan daripada sekian banyak nama baharu dan karya yang lahir sejak belakangan ini. Kerancakan penulisan puisi dapat dilihat melalui penerbitan buku-buku puisi penyair Sarawak, terutama oleh DBP di samping penerbit lain termasuk persatuan penulis. 
     Dari tahun 1978 hingga kini, DBP Cawangan Sarawak telah menerbitkan banyak buku puisi. Antaranya ialah Puisi-puisi Kenyalang (penyelenggara: Jeniri Amir), Lagu Kenangan (Mohd Esmawy Hj. Husly, Saiee Driss, Chan Khun Neng), Puisi-Puisi Kenyalang II (penyelenggara: Jeniri Amir), Cenderamata (Penyelenggara: Yeop Johari Yaakob, Jonathan Singki Lintan), Surat Putih (Saiee Driss), Perkasihan Musim (Penyelenggara: Hajijah Jais, Jonathan Singki Lintan), Satu Perasmian (Penyelenggara: Yeop Johari Yaakob), Menganyam Kedukaan (Penyelenggara: Jiso Rutan), Caturrangga (Projek Hadiah Galakan Sastera Kenyalang), Cerita Sebuah Rumah Kaca (Hipani Alwi), Membentuk Elok di Teluk Esok (Abizai), Subuh yang Lain (Dahiri Saini), Gema Limbang (Penyelanggara: Piee Ling), Wajah Kita (Penyelenggara: Husnah Sait), Pelagus (Editor: Hamzah Hamdani dan Abang Haliman Abang Julai), Cerita Sebuah Kampung (Hipani Alwi), Nyanyian Pulau (Penyelenggara: Jonathan Singki Lintan dan Hajijah Jais), Sejadah Hijrah (Penyelenggara: Jaafar Hamdan dan Zainal Abidin Suhaili), Bunga yang Menangis (Jaafar Hamdan), Sari Rahsia Terindah (Rosani Hiplee), Bingkai Waktu (Pharo Abdul Hakim), Jatuh ke Laut (Taufiq Firdausi), Tanahku Ros Merah (Latifah Mohd. Sabli), Permata Kalbu (Poul Nanggang), Cinta Perempuan yang Cantik (Rosani Hiplee), Sinar Benar (Abizai), Aku Guru (Jais Sahok), Terkunci dan Terbelenggu (Zaini Ozea), Musafir Cinta (Jemat Gani), Sekuntum Cinta Seharum Mesra (Jemat Gani), Sekuntum Rasa Insani (Kho Thong Eng), Cerita Kepada Hati (Hipani Alwi), dan Memandang Cangkerang (Abizai).

 

     Karya-karya penyair Sarawak juga banyak disiarkan dalam akhbar tempatan seperti The Borneo Bulletin, The Borneo Post, Cermin Rakyat, Utusan Sarawak, Utusan Borneo dan Suara Sarawak. Ada beberapa orang penyair telah berjaya menembusi tembok akhbar dan majalah perdana kebangsaan seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Mastika, Dewan Sastera, Pelita Bahasa dan lain-lain lagi.
     Meneliti antologi dan kumpulan puisi yang pernah diterbitkan dan menjenguk ruangan sastera di akhbar dan majalah, ditemui deretan nama penyair yang turut menyumbang kepada kelestarian dunia penulisan puisi Bumi Kenyalang. Antaranya ialah Adi Badiozaman Tuah, Mohd. Esmawy Hj. Husly, Saiee Driss, Jeli Bohari Biha, Benedict Talip, Latifah Haji Shebli, Jeniri Amir, Zaini Ozea, Maliah Shebli, Mat Segalang, Shamserbie Naruddin, Ahmad Hamdan, William Chan, Hipani Alwi, Pharo Abdul Hakim, Jamilah Morshidi, Lina Piee, M.Z. Ali, Sajali Muhammad, Abdillah SM, Muhammad Sabli S.H., Jais Sahok, Margi Leo, Mohammad Bujang, Mohammad Hj. Yusuf, Abang Nawawi Abdul Rahman, Muradi Amir, Openg Onn, Ahmad Sabu, Bedui Une, Matzidi Driss, Zahrah Haji Bujang, Zakaria Embi, Yusuf Mustanir, A.D. Wati, Aldi Salim, Ross, Mozannur, Abang Patdeli Abang Muhi, Abizai, Fadillah Juni, Kelana Akira, Joni Ozea Ghani, Sabri Juni, Za’abaie Shuaini, Johan Sutrio, Sazali Morshidi, Man Seliman, Siti Aishah Zaharah, Halimah Hashim, Rohaiza Nurzaliza, Lucas Takip, Noora Ismail, Dedo Nanas, Daniel Bampa, Tarmizan Rani, Monir Yacob, Ting Mee Ting, Telani Hanapi, Sriwati Labot, Zakaria Manan, Yusuf Fansuri, Latifah Morshidi, Basri Abdillah, Justi Amban, Poul Nanggang, Maliah Adenan, Piee Ling, Rosani Hiplee, Jaafar Hamdan, Khoo Thong Eng, Dahiri Saini, Naziah Naziri, Martin Kinjan, Penyair Lapok, Suzana Wasli, Salmi Senik, Bagus Suratmoko, Dick Bin Jack, Johnson Yakut, Noraisyah Syuhadah, Nurul Aminuddin, Kiprawi Sani, Harun Siji, Roslan Jomel, Suhai Ragas, Suhaili Gan, Dilah Tuah, Lawrence Atot, Livis Empanang Taka, Bolhi Narani, Salmi Senik, Noor Abby, Yan Kelana, Jali Kenoi, Jemat Ghani, Desmond Manja Gasan, Salleh Ahmad, Benjamin Matussin, Abang Kassim Abang Bujang, Stephen Chung, Sofea Acol Abdullah, Hazami Jahari, Mohidin Malek, Maslina Mahbu, Suhana Lina Sarkawi, Azeman Jerani, Abang Daud Abang Taha, Abdul Rassid Subet, Shamsul Idzam Jamil, Mohamad Faizal Jamil, Arjuna Mustapha, Yahya Mat, Zainudin Lokman, Sahibul Anuar Asrani, Zainal Jiee, Karl Agan, Dayang Lenny, Suhadat Arbi, Tentenz Susana, Ummy Noorhafiza Mahri, Norsari Abdul Hadi, Ogiey Wagiman, Frankie Latit, Hilster Ramba, Suhadat Arbi, Asyraff Jamin, Adi Herman, Zaini Bilong, Norhidayah Abdullah, Rozalia Razali, Muhammad Justin Dingun Ugah, Lawrence Sikai, Awang Ahmad Awang Hairi, Junaidah Ameng, Rosni Ili, Apai Benak, Zamhari Bakti, Shield Sahran, Osman Zaini, Lokman Hakim, Ahmad Shafiee, Tiara Amira, Muhammad Ramadani, Halimatus Sa’adiah Yahya, Abdullah Azan Kadir, Haziq Ahmad Zaki, Ratna Dewi Asmara, Faizal Jarawi, Azrinna Jamahari, Clariessa Kesulai, Helena Henry Lajang, Udaksan, Jerrah Pandin, Awang Alfizan dan Mohammad Bohari.

Ruangan Yang Indah Itu Bahasa dan Wadah Bahasa dan Sastera
Para penulis Sarawak beruntung kerana pihak DBP Cawangan Sarawak telah menyediakan prasarana untuk mereka menyiarkan hasil penulisan. Ruangan Yang Indah itu Bahasa kelolaan DBP Cawangan Sarawak muncul dalam akhbar Utusan Borneo (Sebelum ini di dalam akhbar The Borneo Post dan Utusan Sarawak) setiap minggu menampilkan puisi, cerpen dan rencana sastera. Di situlah ratusan puisi penyair Sarawak telah disiarkan sejak awal tahun 1990-an malah ada yang berjaya memenangi hadiah sastera pada peringkat negeri dan kebangsaan. Ruangan ini terbuka kepada para penulis mapan dan penulis muda yang telah berjaya membuktikan mutu karya mereka.
     Ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pula merupakan ruangan untuk membimbing para penulis baharu dan muda dalam genre puisi dan cerpen. Karya mereka akan disiarkan tanpa suntingan. Diulas dan dibedah oleh seorang penilai atau pembimbing yang terdiri daripada penulis berwibawa dan ulasan tersebut akan disiarkan pada minggu berikutnya. Ruangan ini telah bertahan sejak 1996 dan berjaya melahirkan dan mengasuh ramai penulis baharu sehingga kini. Ramai daripada mereka telah menjadi penulis yang berjaya termasuk dalam bidang puisi seperti Rafaie Ismail, Yusuf Fansuri, Dahiri Saini, Hilster Ramba, Frankie Latit, Zamhari Bakti, Adi Herman, Ogiey Wagiman, Shield Sahran, Clariessa Kesulai, Azrinna Jamahari, Jerrah Pandin dan lain-lain lagi.

Hadiah Sastera Penulis Sarawak
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak juga telah banyak menganjurkan hadiah sastera dan sayembara penulisan. Antaranya ialah Peraduan Menulis Karya Kreatif, Hadiah Sastera Penulis Sarawak, Hadiah Galakan Sastera Kenyalang, Peraduan Menulis Bulan Bahasa dan lain-lain lagi.
     Pada peringkat negeri, Hadiah Sastera Penulis Sarawak ini telah menjadi penanda aras kepada pencapaian penulis dalam karya berbentuk eceran. Mereka yang menerima hadiah ini dianggap telah mencapai sebuah kejayaan yang membanggakan pada peringkat negeri. Dalam bidang puisi, antara penyair yang telah menerima hadiah ini ialah Adi Badiozaman Tuah, Jeniri Amir, Matzidi Driss, Abizai, Nazri Hussein, Lawrence Atot, Hipani Alwi, Johnson Yakut, Noraisyah Syuhadah, Nurul Aminuddin, Saiee Driss, Taufiq Firdausi, Sriwati Labot, Kiprawi Sani, Abang Kassim Abang Bujang, Arjuna Mustapha, Rosani Hiplee, Kelana Akira, Dahiri Saini, Bolhi Narani, Hazami Jahari, Desmond Manja Gasan, Abang Median Abang Said, Nawi A. Rahman, Roslan Jomel, Jemat Ghani, Jais Sahok, Maslina Mahbu, Sazali Morshidi, Ummy Noorhafiza Mahri, Norsari Abdul Hadi, Basri Abdillah, Yusuf fansuri, Jaafar Hamdan, Pharo Abdul Hakim, Beb Sabariah, Suhai Ragas, Suhaili Gani, Latifah Haji Shebli, Yahya Mat, Latifah Morshidi, Zainudin Lokman, Piee Ling, Sahibul Anuar Asrani, Zaini Ozea, Zainal Jiee, Abang Patdeli Abang Muhi, Benjamin Matussin, Muhammad Justin Dingun Ugah, Lawrence Sikai, Awang Ahmad Awang Hairi, Junaidah Ameng, Za’abaie Shuaini, Poul Nanggang, Zaini Bilong, Mohamad Faizal Jamil, Halimatus Sa’adiah Yahya, Justi Amban, Adi Herman Amir dan Mohamad Zakri Zakaria.

Penyair Sarawak dalam Gelanggang Sastera Kebangsaan
Di manakah kedudukan para penyair Sarawak dalam perkembangan dunia penulisan puisi pada peringkat kebangsaan? Sejak awal tahun 1970-an hingga kini ramai penyair Sarawak telah mendapat tempat dalam akhbar dan majalah tanah air seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera dan lain-lain lagi. Ada di antara mereka telah memenangi hadiah peringkat kebangsaan seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan lain-lain lagi. Hadiah Sastera Perdana Malaysia merupakan pengiktirafan tertinggi pada peringkat kebangsaan terhadap karya berbentuk eceran dan buku. Penulis yang pernah memenangi hadiah ini akan berada pada tahap yang tersendiri dalam dunia penulisan tanah air.
     Setakat ini hanya enam orang penyair Sarawak telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok penulis tersebut dalam bidang puisi, iaitu Adi Badiozaman Tuah, Benedict Talib, Saiee Driss, Abizai, Roslan Jomel dan Basri Abdillah. Jumlah ini masih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah penyair Sarawak dan tempoh penilaian hadiah tersebut sejak tahun 1971. Para penyair Sarawak terutama penyair muda perlu mempertingkat gaya pengucapan, kejernihan pemikiran, kedalaman renungan dan kehalusan perasaan agar karya mereka mampu memikat panel penilai hadiah tersebut pada masa mendatang. Diharapkan agar lebih ramai dan kerap lagi penyair Sarawak dapat memenangi hadiah ini sama ada dalam bentuk eceran atau buku puisi. Kemenangan dalam hadiah berprestij ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih tinggi lagi dengan menggapai S.E.A Write Award dan Anugerah Sastera Negara pada masa hadapan.

Arah Tuju Penyair Sarawak
Cabaran dan tuntutan zaman telah berubah. Penyair bukan lagi hanya sekadar perakam zaman tetapi harus juga menjadi penyoal dan pentafsir di samping mengutip semangat, pemikiran dan falsafah yang dibawa zaman. Selain daripada memapar tentang pengalaman, isu semasa, masalah hidup, adat resam dan sebagainya, para penyair perlu menonjolkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat secara mendalam yang menjadi sistem hidup masyarakat agar dapat dikongsi dan dirasai oleh khalayak pembaca secara meluas dan mendalam.
     Sebagai penyair yang berjiwa besar, jangan cepat menuding jari dan menyalahkan orang atau pihak lain jika belum mencapai kejayaan. Teruskan usaha dalam penulisan puisi tanpa diganggu oleh buruk prasangka. Berdoa, berlapang dada dan terus percaya bahawa rezeki kurniaan Allah dalam bidang penulisan akan menjelma juga setelah lelah berusaha menggilap keindahan bahasa dan makna dalam karya. Buktikan mutu dalam karya, bukannya kata-kata duka dan buruk sangka.
     Negeri Sarawak memiliki ramai penyair muda yang berbakat dan mampu pergi jauh dalam bidang penulisan puisi tanah air. Gaya pengucapan mereka berbeza dan segar ketika menghantarkan makna. Jika ingin mencapai kejayaan pada peringkat tinggi, mereka harus tahu menghasilkan karya yang seimbang dalam gaya pengucapan dan kedalaman makna. Menjauhi penggunaan simbol atau citra yang tidak sesuai dengan persoalan, masalah imej bercampur, terlalu peribadi, tidak bertautan antara satu dengan yang lain dan tidak mendukung kesatuan makna serta bertentangan dengan logika.
     Puisi yang baik dan bersifat malar segar, pasti akan meninggalkan suatu kesan keindahan bahasa dan makna di hati dan fikiran khalayak pembaca yang tidak mudah dilupakan. Mengalir jernih ke alur ingatan dan jiwa dan berkekalan di sana dalam waktu yang lama. Puisi sedemikian dihasilkan dengan penuh teliti dan pertimbangan dengan diksi yang tepat, padat dan seimbang. Puisi yang terlalu biasa dan hanya sekadar meluahkan perasaan atau merakamkan keadaan tanpa ketelitian pengucapan dan perenungan mendalam serta bijaksana, tidak mungkin dapat pergi jauh ketika bersaing pada peringkat yang lebih tinggi.

Penutup
Dalam tempoh 45 tahun, DBP Cawangan Sarawak telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk memupuk dan menajamkan bakat serta ruang bagi menyiar dan menerbitkan karya dalam bentuk eceran dan buku. Galakan dan pengiktirafan juga diberikan setiap tahun sebagai pembakar semangat dan penghargaan kepada para penulis. Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Terpulanglah pada kegigihan dan kecekalan para penulis untuk memajukan diri dengan memperkaya perbendaharaan kata dan gaya pengucapan, meraut imaginasi, pemikiran dan perasaan. Segalanya memerlukan waktu dan pengorbanan kerana kerja menulis merupakan proses pembelajaran yang berterusan. Luaskan pembacaan, dalamkan renungan serta menggali dan menggilap pengalaman tanpa mengenal putus asa sehingga sampai ke puncak jaya. 

 
 
Advertisement