Anda di sini

COVID-19: Kes baharu turun minggu lepas berbanding minggu sebelum

Advertisement
 

KUALA LUMPU: Bilangan kes baharu COVID-19 yang direkodkan bagi Minggu Epidemiologi ke-38 (ME 38/2022) iaitu dari 18 hingga 24 Sept menurun kepada 12,963 daripada 13,627 kes dicatatkan pada ME 37/2022 dari 11 hingga 17 Sept.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penurunan dicatatkan adalah sebanyak 4.9 peratus. 

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 38/2022 ialah 25,325 iaitu terdapat penurunan empat peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Dr Noor Hisham, bilangan kes tempatan pada ME 38/2022 menurun 4.8 peratus kepada 12,934 kes daripada 13,585 kes pada ME 37/2022. 

Kes import COVID-19 pada ME 38/2022 pula mencatatkan penurunan 31 peratus kepada 29 kes berbanding 42 kes pada ME 37/2022, katanya. 

Beliau berkata bilangan kes sembuh pada ME 38/2022 menurun 5.8 peratus kepada 13,677 kes daripada 14,513 kes pada ME 37/2022 manakala kes kematian pada ME 38/2022 meningkat sebanyak 29 peratus (31 kes kepada 40 kes). 

Menurut beliau, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi bagi semua kategori menurun pada ME 38/2022 berbanding ME 37/2022.

“Pesakit kategori satu dan dua menurun 7.1 peratus manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima menurun 11.5 peratus,” katanya. 

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan peningkatan dari segi bilangan kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah iaitu 102 peratus.

Beliau berkata berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 37/2022 dan ME 38/2022, bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 0.5 peratus manakala kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital tidak berubah bagi kedua-dua tempoh.

Kata Dr Noor Hisham, dari 25 Jan 2020 hingga 24 Sept lepas, kumulatif kes baharu COVID-19 yang dicatatkan negara ialah sebanyak 4,830,214 kes. 

Dalam tempoh sama, kumulatif kes sembuh COVID-19 ialah sebanyak 4,768,604 kes manakala kumulatif kes kematian berjumlah 36,348 kes dan kumulatif kluster ialah 7,079 dengan 14 kluster masih aktif. - BERNAMA 

Advertisement