Anda di sini

Budaya sukan lahirkan modal insan cergas dan cerdas

Advertisement
 Nizam (dua kanan) beramah mesra dengan murid-murid yang menyertai carnival tersebut.
RAMAH MESRA: Nizam (dua kanan) beramah mesra dengan murid-murid yang menyertai carnival tersebut.

TAWAU: Budaya sukan perlu diterapkan dalam mendidik modal insan seawal daripada pendidikan awal kanak-kanak lagi supaya minda mereka lebih cergas dan cerdas.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pendidikan murid-murid di sekolah perlu diseimbangkan antara akademik dengan sukan.

Katanya, pihak sekolah perlu memainkan peranan memberikan pendidikan yang seimbang kepada murid-murid sekolah khususnya diperingkat Pra-Sekolah.

“Saya percaya, budaya sukan ini salah satu aspek penting yang turut diajar dan menjadi silibus pembelajaran murid-murid di sekolah.

“Sekiranya murid-murid ini cergas, sudah pasti mereka dapat menerima pembelajaran yang diajar dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan Pra Sekolah Bahagian Tawau, di sini hari ini.

 Nizam menendang bola sebagai simbolik memulakan perlawanan.
GIMIK: Nizam menendang bola sebagai simbolik memulakan perlawanan.

Menurutnya, karnival yang dianjurkan ini sangat baik kerana dapat menghimpunkan semua murid Pra Sekolah daripada seluruh daerah Tawau.

“Saya sangat bersetuju sekiranya karnival ini dilaksanakan dengan lebih kerap dan menjadi program tahunan di peringkat daerah.

“Syabas dan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau khususnya unit Pra Sekolah kerana berjaya menganjurkan karnival ini,” katanya.

Nizam berharap melalui karnival sukan ini juga dapat membina jati diri dan disiplin murid terutamanya mereka yang bakal menjejaki ke alam sekolah rendah.

“Saya yakin budaya sukan ini memberi kesan yang baik kepada murid-murid yang terlibat dan berharap mereka akan berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, karnival ini adalah pertandingan sukan Futsal dan Bola Jaring yang melibatkan enam zon iaitu Apas, Balung, Merotai, Kalabakan, Bandar serta Sebatik.

  • oleh
  • Advertisement