Anda di sini

SUKMA XX: 'Kilat Boy', Jackson sumbang emas kem tinju

Advertisement
Pasukan tinju Sarawak berjaya meraih dua pingat emas pada hari terakhir temasya SUKMA XX, semalam. - Gambar Chimon Upon
Pasukan tinju Sarawak berjaya meraih dua pingat emas pada hari terakhir temasya SUKMA XX, semalam. - Gambar Chimon Upon

KUALA LUMPUR: Petinju sensasi, Daeloniel McDelon Bong menepati ramalan apabila memenangi pingat emas untuk Sarawak dalam acara tinju kategori feather lelaki 54-57 kilogram (kg) pada pertarungan di Kompleks Futsal Malaysia Presint 18, Putrajaya semalam.

Pada aksi akhir menentang petinju Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Alif Akmal Muhamad Azri, petinju handalan Sri Aman yang terkenal dengan jolokan 'Kilat Boy' itu berjaya menewaskan lawannya dengan mata 5-0.

"Perlawanan itu (aksi akhir) sengit bagi saya dan ada sedikit masalah di mana pencabar boleh membaca taktik saya dalam perlawanan pertama.

"Bagaimanapun, pada perlawanan kedua saya cuba baiki semula dan ubah taktik," kata Daeloniel.

Katanya, beliau akan meneruskan usaha dalam karier tinju sehingga ke peringkat amatur dan seterusnya profesional.

"Saya akan teruskan karier ini dan akan masuk kumpulan kebangsaan," jelasnya sambil menambah, pingat emas yang dimenanginya diharap menjadi motivasi kepada generasi muda Sarawak untuk menyertai sukan tinju.

Momentum positif itu berterusan apabila Jackson Sambai Ikeh turut menyambar pingat emas bagi kategori fly lelaki (48-51kg) dengan menundukkan pencabarnya, Mohammad Hakimi Sumadi dari WPKL juga dengan kemenangan 5-0.

Semalam juga, Mohammad Rafieq Murshidi menyumbang pingat perak selepas tewas di tangan petinju Johor, Muhammaf Ariff Aiman Mohd Farid pada pertarungan akhir kategori tersebut dengan mata 5-0.

Susulan tiga pingat itu semalam menjadikan kem tinju menyumbang lima pingat iaitu dua emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) kali ini.

Hadir sama memberi sokongan ialah Chef de Mission Dato Gerald Rentap Jabu, Penolong Chef de Mission Tinju Datuk Hamzah Brahim serta Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo.

Rentap ketika ditemui menyatakan ucapan penghargaan kepada atlet-atlet yang berjaya menyumbang pingat kepada negeri Sarawak.

"Gembira dan tahniah kepada petinju-petinju yang menyumbang pingat dalam acara ini.

"Ia bakal memberi semangat kepada generasi baharu yang menyertai acara tinju pada masa akan datang," katanya.

Ucapan sama turut dizahirkan oleh Rahman terhadap petinju yang berjaya meraih pingat pada SUKMA kali ini.

"Tahniah kepada pemenang yang berjaya merangkul pingat pada sukan kali ini dan dapat memberikan aksi persembahan yang terbaik dalam perlawanan," jelasnya.

Sementara itu, dua lagi pingat berjaya dituai pada pertarungan Rabu lalu apabila Hellary Hendry meraih gangsa menerusi kategori cruiser lelaki (80-86kg).

Satu lagi pingat perak dimiliki oleh Sarawak menerusi kategori whelter (63.5-67kg) daripada Mohd Helmi Chieng Mohd Firdaus dalam pertarungan pada Jumaat.
 

  • oleh
  • Advertisement