Anda di sini

Seorang korban tanah runtuh ketika satu lagi taufan hampiri Jepun

Advertisement
 

TOKYO: Taufan Talas menghampiri wilayah timur Jepun semalam, membawa hujan lebat dan mengorbankan seorang seminggu selepas satu lagi ribut kuat membadai negara ini.

Jepun yang sekarang berada dalam musim taufannya, dan berdepan sekitar 20 jenis ribut dalam setahun, biasanya bersama hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat atau tanah runtuh.

Taufan yang terbaru, Talas, telah bergerak berhampiran bahagian timur laut negara, 100 kilometer (62 batu) di luar pantai Omaezaki pada jam 6 pagi waktu tempatan, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Ia telah membawa angin maksimum selaju 90 kilometer sejam, kata JMA.

Agensi tersebut telah mengeluarkan amaran mengenai paras ombak tinggi, hujan lebat, tanah runtuh dan banjir di bahagian tengah, timur dan utara Jepun, termasuk Tokyo.

Seorang lelaki dalam usia 40-an maut selepas rumahnya dihempap tanah runtuh di Kakegawa, wilayah Shizuoka, lapor media tempatan.

Dalam kejadian tanah runtuh yang berasingan di Hamamatsu, juga di wilayah Shizuoka, tiga orang termasuk seorang budak lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan ringan, kata pihak penyiaran awam NHK.

Pada hujung minggu lepas, empat orang maut dan 151 lagi tercedera selepas Taufan Nanmadol membadai barat daya Jepun.

Para saintis berkata perubahan iklim telah menambahkan kesan buruk oleh ribut dan menyebabkan cuaca ekstrem seperti  gelombang haba, kemarau dan banjir kilat yang menjadi semakin kerap dan intensif. — AFP
  

Advertisement