Anda di sini

NADMA minta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Daerah diaktifkan, siap siaga di Sabah dan Labuan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah diaktifkan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana di Sabah dan Labuan.

Ia susulan amaran hujan berterusan tahap waspada (Kuning) dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, melibatkan beberapa lokasi di Sabah dan Labuan sehingga esok (26 Sept).

Menurut NADMA, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi keperluan asas.

Selain itu Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga dimohon supaya mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi dan berada dalam keadaan baik serta bersedia untuk digunakan. 

“Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal,” menurut hantaran di Facebook NADMA, hari ini.

Terdahulu MetMalaysia memaklumkan lokasi yang terlibat di Sabah adalah di pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat. - BERNAMA 

Advertisement