Anda di sini

Maghribi penjara ketua dadah Perancis selama 20 tahun

Advertisement
 

RABAT: Mahkamah Maghribi telah menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadap seorang ketua dadah Perancis atas beberapa tuduhan narkotik, menurut seorang pegawai mahkamah kelmarin.

Sofiane Hambli melarikan diri dari ikat jamin di Perancis pada Mac tahun lepas ketika dalam perbicaraan mengenai penghantaran ganja, namun dia ditangkap semula pada Oktober di sebuah hospital Maghribi di mana dia menerima rawatan bagi kecederaan di muka.

Lelaki berusia 46 tahun itu dipercayai sebagai salah seorang pengimport ganja terbesar ke Perancis dan memiliki rekod jenayah yang panjang serta sejarah pernah memboloskan diri dari penjara.

Kelmarin, seorang pegawai mahkamah mengesahkan laporan oleh laman berita Hespress bahawa sebuah mahkamah Rabat telah menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun tanpa kemungkinan untuk parol terhadap Hambli, yang berasal dari Algeria.

Dakwaan termasuk “pengedaran dadah antarabangsa”, “pengubahan wang” dan “pengurungan secara paksa” di Maghribi, pihak berkuasa memberitahu AFP.

Hespress menyatakan dia telah ditahan di sebuah penjara berhampiran Rabat “di bawah kawalan ketat”.

Hambli telah menjadi sasaran notis merah Interpol pada tahun lepas di atas permintaan pihak berkuasa Perancis, namun pihak berkuasa Maghribi telah menolak untuk mengekstradisinya, lapor media Maghribi.

Hambli masih dikehendaki di Perancis bagi beberapa tuduhan lanjut berkenaan mengimport bertan-tan ganja.

Akhbar Parisien melaporkan pada masa itu bahawa dia telah mendapat 2.5 juta euro daripada transaksi tersebut, tuduhan yang dinafikan oleh peguamnya Hugues Vigier. — AFP
 

Advertisement