Anda di sini

K-KOMM berhasrat wujudkan lebih banyak PEDi, rapatkan jurang digital

Advertisement
Mohammad (tengah) berbual dengan kanak-kanak ketika melakukan lawatan di PEDi Taman Prestij, Balik Pulau hari ini. Turut hadir Pengurus PEDi Taman Prestij Nur Hazwani Salleh (kiri). - Gambar BERNAMA
Mohammad (tengah) berbual dengan kanak-kanak ketika melakukan lawatan di PEDi Taman Prestij, Balik Pulau hari ini. Turut hadir Pengurus PEDi Taman Prestij Nur Hazwani Salleh (kiri). - Gambar BERNAMA

BALIK PULAU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berhasrat mewujudkan lebih banyak Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) seluruh negara khususnya di Pulau Pinang bagi mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata setakat ini, terdapat 911 PEDi di seluruh Malaysia yang dijangka dapat memberi lonjakan baharu kepada ekonomi rakyat.

"Kementerian merancang untuk mewujudkan pusat berkenaan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara bagi membolehkan semua masyarakat mendapat faedah daripadanya.

“Sehingga kini, terdapat 1.25 juta pengguna PEDi di seluruh negara dan pengguna yang berdaftar sebagai ahli adalah 713,277 selain terdapat 25,136 usahawan aktif," katanya selepas mengadakan lawatan ke PEDi di Taman Pretij II di sini hari ini.

Menurutnya PEDi diwujudkan bukan hanya untuk menawarkan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi dan penggunaan komputer, tetapi menjadi pusat setempat bagi penganjuran kursus teknologi maklumat dan komunikasi serta program keusahawanan secara percuma kepada masyarakat oleh petugas PEDi terlatih.

Mohammad berkata penubuhan pusat berkenaan merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu usahawan meningkatkan taraf sosioekonomi khususnya yang berada di kawasan luar bandar, selain mampu meningkatkan tahap literasi (digital).

Beliau berkata di Pulau Pinang setakat ini hanya mempunyai tiga PEDi iaitu dua di kawasan Balik Pulau dan satu di Tasek Gelugor.

"Adalah menjadi hasrat kementerian untuk menambah lebih 30 PEDi lagi di negeri ini supaya kemudahan tersebut dapat dinikmati oleh semua penduduk khususnya di luar bandar," katanya. 

Menurutnya projek pembinaan PEDi di Pulau Pinang akan dimulakan pada awal tahun depan dan diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - BERNAMA

Advertisement