Anda di sini

DUN sabah tidak akan dibubar, walaupun Parlimen bubar tahun ini

Advertisement
 Hajiji (tengah) tiba dengan sambutan meriah daripada penduduk setempat.
SELAMAT DATANG: Hajiji (tengah) tiba dengan sambutan meriah daripada penduduk setempat.

SANDAKAN: Sabah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Parlimen dibubarkan kerana masih mempunyai baki tiga tahun untuk mencapai tempoh matang pemerintahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, terdapat khabar angin mengatakan DUN Sabah akan dibubarkan sekitanya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen tahun ini.

"Semua ini hanya cakap-cakap sahaja dan tidak benar, kita masih mempunyai tiga tahun memerintah Sabah," katanya pada Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Batu Sapi di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan GRS-Barisan Nasional akan meraikan ulang tahun kedua pada 26 September 2022.
 
"Apa yang penting adalah, kita terus menguatkan GRS, gabungan ini mewakili semua rakyat Sabah yang berbilang bangsa dan agama.

"Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada Oktober depan, atau tahun depan, apa juga keputusan, GRS sudah bersedia," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, semua komponen GRS juga bersetuju menggunakan logo GRS pada PRU-15 nanti.

"Semua parti dalam GRS, termasuk Parti Bersatu Sabah, STAR bersetuju menggunakan logo GRS dalam PRU nanti.

"Sudah pasti kita akan menang besar pada PRU nanti," katanya.

Hajiji berkata, GRS dan BN juga memberikan jaminan akan bekerjasama membangunkan Sabah serta membawa kemakmuran kepada rakyat.

"Sekiranya calon Batu Sapi dipilih dari GRS, kita tahu bahawa BN akan bantu kita memastikan kemenangan di kawasan ini, kita juga akan pastikan BN menang sekiranya mereka dipilih sebagai calon.

"GRS akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan itu kerana kita adalah kerajaan GRS-BN," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa kesilapan politik pada masa lalu perlu dijadikan pengajaran dan jangan sesekali wujud perpecahan.

Katanya, kerjasama utuh diperlukan bagi membawa Sabah maju ke hadapan selari dengan slogan Sabah Maju Jaya.

Hajiji juga memastikan kerajaan GRS-BN akan terus memperjuangkan isu yang membelenggu rakyat di Batu Sapi seperti status penempatan setinggan.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun untuk melihat isu berkenaan dan kemungkinan untuk kita gazetkan penempatan setinggan ini sebagai rizab kampung," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement