Anda di sini

SUKMA XX: Silat akhiri kempen dengan dua emas

Advertisement
Abdul Latif bergambar bersama pingat emas yang berjaya diraihnya.
Abdul Latif bergambar bersama pingat emas yang berjaya diraihnya.

NILAI: Kem pencak silat Sarawak mengakhiri temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) dengan menyumbang dua emas selepas dua atletnya berjaya menumbangkan lawan masing-masing pada peringkat akhir acara tersebut, hari ini.

Aksi akhir yang diadakan di gelanggang Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyaksikan dua atlet Sarawak Mohd Abdul Latif Maxzakir dan Raveena Jeno mempamerkan 'bunga' cemerlang dalam kategori masing-masing.

Bagi kategori lelaki Kelas Lelaki H (80-85 kilogram), pesilat Sarawak Abdul Latif berjaya mengatasi pesilat dari Perak Muhammad Yussuf Razali dengan mata 29-19.

Saingan sengit turut disaksikan di pentas akhir antara Raveena menetang lawan dari Pahang, Nurulaina Zailudin sebelum melakar kemenangan dengan mata 41-35 bagi kategori Wanita Kelas E (65-70 kilogram).

Muhamad (kiri) bergambar bersama Raveena selepas berjaya menewaskan pesainganya di pentas akhir silat kategori Wanita Kelas E (65-70 kilogram).
Muhamad (kiri) bergambar bersama Raveena selepas berjaya menewaskan pesainganya di pentas akhir silat kategori Wanita Kelas E (65-70 kilogram).

Abdul Latif yang berasal dari Kuching berkata, beliau berasa teruja meraih kemenangan dalam acara pencak silat hari ini.

"Syukur alhamdulillah, apa yang dinanti-nantikan selama ini dan hasil usaha selama empat tahun ini, saya berjaya mencapai cita-cita ini serta ingin meneruskan acara ini dalam 'team' Malaysia.

"Untuk kali ini, saya hendak lakukan yang terbaik untuk Malaysia," katanya.

Sementara itu, Raveena menjelaskan temasya SUKMA kali ini merupakan yang terakhir untuknya.

"Saya gembira mendapat pingat emas selepas memcapai target untuk menewaskan pesaing yang pernah ditemui sebelum ini.

"Sebelum ini, saya berdepan dan tewas dengan pesaing itu. Namun kali ini saya berjaya beroleh kemenangan," ujarnya.

Sementara itu, Penolong Chef de Mission bagi pencak silat, Mohamad Duri menyatakan perasaan terharu berikutan pasukan berjaya meraih dua emas dalam acara tersebut.

"Kita bersyukur kali ini kita ada 10 pesilat yang berjaya berada di peringkat separuh akhir dan paling sedikit dalam genggaman kita ada 10 pingat.

"Berada di peringkat ini bukan mudah kerana mereka berdepan lawan yang hebat-hebat belaka dan sasaran membawa dua emas balik Sarawak sudah dicapai," jelasnya.

Kem pencak silat kontinjen negeri pada temasya SUKMA XX ini berjaya meraih 10 pingat.

Selain Abdul Latif dan Raveena yang meraih pingat emas, pada Jumaat kem pencak silat Sarawak berjaya menyumbang lapan pingat iaitu dua perak dan enam gangsa.

Pingat perak dituai menerusi acara kategori Lelaki Kelas A (45-50 kilogram) Muhd Amizul Azmi Muhammad Rizduan dan Lelaki Kelas D (60-65 kilogram) Mohd Ashraf Amirul Razaman.

Enam gangsa dihadiahkan menerusi kategori Lelaki Kelas Bebas (85-110 kilogram) Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong, Lelaki Kelas C (55-60 kilogram) Kristal Adeg Mahdi dan Lelaki Kelas E (65-70 kilogram) Danial Aqil Zamri.

Selain itu, kategori Wanita Kelas Bebas (65-90 kilogram) Sharifah Nurhalimantun Sa'idah Wan Mohamad, Wanita Kelas C (55-60 kilogram) Zulaika Razaman dan Wanita Kelas D (60-65kg) Syairatul Syahirah Iswandy.
 

  • oleh
  • Advertisement