Anda di sini

SUKMA XX: Sarawak lakar sejarah raih gangsa dalam badminton

Advertisement
Gandingan pemain Sarawak yang berjaya menyumbang pingat gangsa dalam acara beregu campuran badminton di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Gandingan pemain Sarawak yang berjaya menyumbang pingat gangsa dalam acara beregu campuran badminton di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUALA LUMPUR: Skuad badminton melakar sejarah tersendiri pada temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) apabila berjaya merangkul pingat gangsa pada hari terakhir acara itu, hari ini.

Ia dilakar oleh beregu campuran Owen Ting Shih Wee dan Wong Ling Ching selepas menundukkan pasangan dari Melaka, Tan Kok Xian dan Yap Ling 2-1.

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu, gandingan Sarawak terbabit menang 21-12, 19-21 dan 21-17.

Owen ketika ditemui berkata, beliau mengakui agak cemas pada perlawanan tersebut.

"Walaupun cemas, namun berjaya mengekalkan rentak permainan hingga mampu beroleh kejayaan.

"Ia merupakan kenangan yang cukup manis berikutan SUKMA kali ini merupakan yang terakhir untuk saya," ujarnya.

Owen berkata, beliau teruja dengan aksi dan momentum positif yang dibawa dalam gelanggang perlawanan.

"Walaupun pada awalnya permainan saya agak cemas, namun saya sering berpesan kepada diri dan rakan saya untuk kekal bertenang.

"Kita bermain baik pada set pertama, namun hilang rentak pada set kedua. Set ketiga kita kembali fokus untuk memenangi perlawanan," katanya.

Sementara itu, Ling Ching turut meluahkan rasa teruja atas usahanya mampu menyumbang pingat kepada kem badminton negeri.

Ini kerana Sarawak telah sekian lama gagal memenangi apa-apa pingat badminton pada SUKMA, katanya.

"Saya sangat gembira dan teruja kerana dapat memenangi tempat ketiga pada SUKMA," ujarnya.

Pengurus skuad badminton Sarawak Ting Ching Zung ketika ditemui berkata, beliau amat bangga kerana atletnya telah melakar sejarah pada SUKMA kali ini.

"Sebenarnya, kita telah melakar dua sejarah pada SUKMA kali ini.

"Selain pasangan yang memenangi gangsa ini, kita juga ada pasangan pemain wanita yang turut mencipta sejarah mara ke pusingan suku akhir.

"Kesemua lawan yang beraksi pada separuh akhir adalah pemain negara. Hanya pemain kita bukan pilihan kejohanan. 

"Bagaimanapun, saya bangga dengan pencapaian mereka ini. Jika tidak silap, Sarawak tidak pernah memenangi pingat ataupun mara ke suku akhir acara badminton pada SUKMA selama 30 tahun," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement