Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan tanpa pemangkin pasaran, dengan indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak antara paras 1,420 dan 1,450.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata harga minyak mentah dan komoditi yang rendah, yang telah menjejaskan saham tenaga dan berkaitan komoditi, dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kami memilih untuk terus berhati-hati dalam jangka pendek walaupun dijangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah berikutan FBM KLCI hampir terlebih jual,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Bajet 2023 yang akan datang boleh menjadi pemangkin jangka pendek untuk meningkatkan daya saing perniagaan dan mengukuhkan daya tahan negara terhadap kejutan masa depan.

“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan syarikat dan meningkatkan daya tarikan saham,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, saham Malaysia memulakan minggu ini dengan mencatatkan aliran rendah, mencerminkan penurunan dalam pasaran global berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan dan kenaikan kadar seterusnya yang menjejaskan keyakinan pelabur.

“FBM KLCI terus merosot berikutan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi. Walaupun bursa ditutup tinggi pada Selasa, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah yang meluas, momentum itu tidak dapat dikekalkan.

“Tekanan jualan berterusan pada hari-hari berikutnya, menyebabkan FBM KLCI mengakhiri minggu ini rendah berikutan sentimen pasaran ekuiti yang merosot disebabkan kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS,” kata Mohd Sedek.

Pada asas Khamis hingga Jumaat, FBM KLCI susut 42.33 mata kepada 1,424.98 daripada 1,496.53, sebahagian besarnya berikutan keputusan kenaikan kadar AS, yang telah menjana sentimen penurunan yang meluas di pasaran serantau, mengurangkan kemungkinan pertumbuhan yang lembap untuk ekonomi AS.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 277.20 mata kepada 10,197.38, Indeks FBMT 100 merosot 281.03 mata kepada 9,933.62, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 340.62 mata kepada 10,238.20, FBM ACE turun 67.12 mata kepada 4,766.63 dan FBM 70 berkurangan 295.79 mata kepada 12,431.79.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 193.41 mata kepada 6,664.71, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 9.27 mata kepada 172.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 222.91 mata kepada 16,268.57 dan Indeks Tenaga turun 24.98 mata kepada 712.64.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.66 bilion unit bernilai RM8.32 bilion daripada 10.52 bilion unit bernilai RM7.59 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 7.02 bilion saham bernilai RM7.06 bilion daripada 6.91 bilion saham bernilai RM6.22 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM158.78 juta daripada 807.75 juta unit bernilai RM121.09 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 2.52 bilion saham bernilai RM1.10 bilion daripada 2.8 bilion saham bernilai RM1.24 bilion pada minggu sebelumnya. - BERNAMA
 

Advertisement