Anda di sini

BTMF mampu dikembangkan sebagai produk pelancongan antarabangsa untuk Sibu

Advertisement
Hii (kiri), Ting (dua kiri) dan Gan (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama kepelbagaian etnik pada BTMF di Sibu, malam Jumaat.
Hii (kiri), Ting (dua kiri) dan Gan (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama kepelbagaian etnik pada BTMF di Sibu, malam Jumaat.

SIBU: Borneo Tribal Music Festival (BTMF) mampu menjadi satu lagi produk pelancongan bertaraf antarabangsa untuk Sibu.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee berkata, walaupun acara itu julung kali diadakan namun mampu berkembang lagi pada masa akan datang jika terus dianjurkan sebagai festival tahunan di sini.

"Dengan permulaan yang serba kekurangan, saya percaya BTMF ini mampu berkembang pesat lagi pada masa-masa akan datang.

"Saya percaya dengan sokongan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan pihak berkaitan ia berpotensi sebagai satu lagi acara bertaraf antarabangsa di sini selain dari Pesta Kebudayaan Borneo (BCF), Sibu International Dance Festival (SIDF) dan Sibu International Base Jump (SIBJ)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri BTMF di Taman Esplanade Sibu, malam Jumaat.

Hii juga turut melahirkan rasa gembiranya dengan penganjuran BTMF yang pasti memberikan impak yang positif kepada sektor pelancongan di sini amnya.

Jelasnya, BTMF adalah sebuah acara festival berbentuk muzikal yang kalinya dianjurkan di Sibu seperti mana festival muzik lain yang dianjurkan di beberapa bandar utama di negeri ini.

Menurutnya, bandar-bandar utama di negeri ini wajar mempunyai festival muzik sendiri.

"Ini (BTMF) adalah yang pertama untuk Sibu.

"Kuching kita ada Kuching Jazz, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, manakala di Miri ialah Borneo Jazz.

"Kita sangat gembira dengan kewujudan BTMF yang berpotensi bertaraf sedemikian," jelasnya.

Beliau berkata, kementeriannya akan sentiasa memberikan sokongan terhadap apa jua acara festival yang dianjurkan.

Ujarnya, selepas pandemik lalu dan kini berada dalam fasa endemik, sektor pelancongan di negeri ini harus bekerja keras untuk mula bekerja seperti sebelum pandemik lalu.

Sementara itu, Pengerusi MPS Clarence Ting melahirkan rasa kagum dengan penganjuran BTMF sambil berharap lebih banyak lagi acara sedemikian dapat diadakan di Sibu.

Beliau juga menyifatkan festival tersebut tidak pernah dianjurkan di sini namun sambutannya amat menggalakkan.

"Idea BTMF ini adalah datang dari orang muda kita Wilfrid Gan.

"Pada mulanya, beliau agak ragu untuk menganjurkannya tetapi selepas memberikan taklimat kepada saya mengenainya saya memintanya untuk meneruskan penganjurannya.

"Ternyata festival ini tidak mengecewakan pada malam ini dan saya sangat terkejut dengan ramainya pengunjungnya yang hadir untuk bergembira dalam festival ini," katanya.

Ting menggalakkan belia untuk menyumbangkan idea demi menjadikan Sibu sebagai sebuah bandar yang meriah dan bertenaga.

Gan yang merupakan Pengerusi Pengelola BTMF berkata, 1,500 hingga 2,000 tiket telah dijual untuk program dua hari tersebut.

Katanya, kapasiti tempat ruangan bertiket untuk menonton konsert BTMF ialah 1,000 orang.

"Pelbagai artis serta DJ popular dari beberapa negara seperti Indonesia, Vietnam, Semenanjung Malaysia dan tempatan telah dijemput untuk membuat pesembahan pada Tribal Music ini.

"Sambutan amat menggalakkan di mana acara ini adalah untuk menarik orang luar datang ke Sibu.

"Setakat ini kita ada penerima pengunjung dari Australia dan berharap BTMF dapat dianjurkan lagi dengan berskala yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Beliau berharap BTMF ini dapat diadakan di lokasi yang lebih besar pada tahun depan.
 

  • oleh
  • Advertisement