Anda di sini

Ugut cederakan lelaki, jurukimpal didenda RM1,500

Advertisement

KUCHING: Seorang jurukimpal didenda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk mencederakan seorang lelaki berusia 36 tahun.

__alt__

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Patrick Lee, 26, dari Sebuyau selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Patrick melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mencederakan mangsa sekitar jam 6 petang pada 18 September 2022 di kawasan kuarters berhampiran Jalan Stampin di sini.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Datuk Bandar Mustapha, dia dihalang Patrick dan isterinya yang menunggang motosikal.

Patrick yang menunggang motosikal itu terus mencabar mangsa untuk bertumbuk, selain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mangsa.

Isteri Patrick cuba menenangkannya tetapi tidak diendahkan, manakala mangsa bertindak balas meninggalkan premis berkenaan dan menuju ke kuarters.

Lelaki itu bagaimanapun mengikut mangsa dan mengambil gambar keretanya, memberitahu mangsa akan mencarinya semula.

Laporan polis telah dibuat dan Patrick telah ditahan pada keesokan harinya (19 September) di sebuah pasar raya berhampiran Jalan Wan Alwi.

Siasatan kes mendedahkan Patrick mabuk dan hilang kawalan diri apabila mangsa tidak mengendahkan cabarannya untuk melawan.

Pendakwaan kes oleh Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala Patrick tidak diwakili peguam.

Advertisement