Anda di sini

SUKMA XX: Golf raih emas individu lelaki

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kem golf Sarawak berjaya menyumbang pingat emas menerusi individu lelaki pada acara yang berlangsung di Kelab Negara Golf, Subang di sini hari ini.

Bagaimanapun, ia bukan saingan yang mudah buat pemain Sarawak Malcolm Ting Siong Hung kerana dia terpaksa mengharungi dua 'play-off' selepas mengikat kedudukan teratas dengan Muhammad Ikhmal Basry dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

 Tan (kiri) dan jurulatih Paul Bryant bersama pegawai pembangunan sukan SSC untuk golf, Villaivan Jee (dua kanan) serta Eliza Mae, Malcolm dan Zulaikah merakamkan kenangan selepas pertandingan golf SUKMA di Kelab Golf Negara Subang hari ini.
SYABAS: Tan (kiri) dan jurulatih Paul Bryant bersama pegawai pembangunan sukan SSC untuk golf, Villaivan Jee (dua kanan) serta Eliza Mae, Malcolm dan Zulaikah merakamkan kenangan selepas pertandingan golf SUKMA di Kelab Golf Negara Subang hari ini.

Kedua-duanya mempunyai markah yang sama iaitu 220 pukulan dalam tiga pusingan, tetapi Ting berjaya mengatasi cabaran Ikhmal untuk menggapai pingat emas yang juga emas Sukma pertama daripada sukan golf.

Sementara itu, kategori berpasukan menyaksikan Ting, Benjamin Ethan Ngelingkong, Lim Beng Keat dan Matthew Peregrine Ong Zhen Lei menduduki tempat kelima dengan 688 pukulan iaitu sembilan pukulan di belakang pemenang pingat emas Selangor (679), Johor (681),  WPKL (682) dan Terengganu (685).

Pemain Sarawak beraksi lebih baik dalam pertandingan berpasukan wanita apabila Zulaikah Nurziana Nasser dan Eliza Mae Kho meraih pingat perak dengan 309 pukulan, tewas kepada juara WPKL dengan 11 pukulan.

Gangsa dimenangi Kedah dengan 317 pukulan.

Pengurus pasukan Anthony Tan Hong Chiang berkata, beliau bangga dengan pasukan itu memenangi pingat emas dan perak sekali gus merupakan keputusan yang hebat untuk mereka.

"Ini adalah kali pertama Sarawak memenangi pingat emas dalam acara golf SUKMA dan pasukan wanita boleh mencapai keputusan yang lebih baik jika Mirabel Ting Ern Hui ada.

"Malangnya dia baru sahaja melapor diri di universitinya di AS dan tidak mendapat cuti untuk kembali ke SUKMA XX," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Terima kasih kepada semua pemain, ibu bapa dan rakan-rakan dari Sarawak yang datang untuk menceriakan dan menyokong pasukan hebat kami.

"Semua mengibarkan bendera dan bersorak untuk Malcolm semasa 'play-off,' malah pemain dan pegawai Sabah juga bersorak untuknya.

"Akhirnya dia menang dan lagu negeri Sarawak dimainkan semasa majlis penyampaian hadiah," katanya.

Advertisement