Anda di sini

STU anjur seminar wanita sempena Hari Wanita Sedunia

Advertisement
Kullin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Ramalinggam (kanan).
Kullin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Ramalinggam (kanan).

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) baru-baru ini menganjurkan seminar wanita selama dua hari sempena sambutan Hari Wanita Sedunia. 

Seminar yang diadakan sebuah hotel di sini itu dihadiri oleh wakil daripada exco tertinggi dan wakil ahli jawatankuasa (AJK) STU daripada setiap bahagian di seluruh Sarawak. 

Presiden STU Kullin Djayang yang merasmikan seminar tersebut berkata, kesamarataan antara lelaki dan wanita tidak seharusnya diperdebatkan lagi. 

Zaman kini ujarnya, sudah terdapat begitu banyak pemimpin wanita di seluruh dunia yang amat disegani dan berwibawa. 

“Sehubungan itu, guru wanita pada masa kini harus mempunyai ketahanan mental dan emosi berikutan mereka berhadapan pelbagai cabaran daripada para pelajar khasnya bagi guru mengajar di sekolah menengah,” katanya dalam ucapan perasmian seminar tersebut.

Beliau dalam pada itu juga mengucapkan tahniah kepada Biro Wanita STU kerana berjaya mengadakan seminar seumpama ini.

Pengisian seminar adalah berkaitan Literasi Undang-Undang berkaitan semua perkara atau tindakan yang boleh dan tidak wajar diambil oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum di sekolah. 

Selain itu, peserta juga didedahkan mengenai kes-kes mahkamah terdahulu membabitkan ramai guru serta cabaran-cabaran daripada masyarakat moden yang sering terjadi dalam profesion perguruan. 

Perkongsian ini telah disampaikan oleh pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ramalinggam Ramanickam.

Dr Christie Augustine yang merupakan pakar motivasi dan psikologi turut menyampaikan perkongsian beliau dalam seminar tersebut. 

Beliau telah memberi input yang sangat berguna kepada peserta berkaitan kesihatan mental dan cara untuk mengubah diri dan orang lain. 

Menurut Dr Christie, setiap manusia adalah unik, oleh itu perubahan dari segi pemikiran amat perlu untuk sentiasa peka terhadap persekitaran yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. 

Pada abad ke-21 ini, cabaran daripada pelajar, ibubapa dan masyarakat ujarnya, semakin hebat.

Justeru, sebagai guru khasnya wanita, mereka perlu sentiasa bersedia mengadaptasikan diri dengan setiap perubahan, katanya.

Dalam pada itu, seminar ditutup secara rasmi dan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta telah disempurnakan oleh Naib Presiden STU Madeline Kho Chung Wei.
 

Advertisement