Anda di sini

Rusia, Ukraine buat pertukaran 215 tahanan perang 

Advertisement
Gambar serahan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine semalam menunjukkan tahanan perang Ukraine bergambar bersama bendera Ukraine selepas sesi pertukaran di wilayah Chernigiv. — Gambar AFP
Gambar serahan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine semalam menunjukkan tahanan perang Ukraine bergambar bersama bendera Ukraine selepas sesi pertukaran di wilayah Chernigiv. — Gambar AFP

KYIV: Ukraine kelmarin mengumumkan pertukaran 215 askar yang dipenjarakan dengan Rusia, termasuk pejuang yang mengetuai pertahanan kilang keluli Azovstal, Mariupol yang menjadi ikon pertahanan Ukraine.

Rusia menerima 55 tahanan termasuk Viktor Medvedchuk, bekas ahli parlimen Ukraine dan sekutu Presiden Rusia Vladimir Putin yang dituduh melakukan pengkhianatan besar, kata pemimpin Ukraine Volodymyr Zelensky dalam ucapan hariannya.

Pertukaran itu menandakan pertukaran terbesar antara kedua-dua pihak sejak permulaan pencerobohan Rusia pada Februari.

“Kami berjaya membebaskan 215 orang,” kata ketua kakitangan presiden Ukraine, Andriy Yermak di televisyen.

Zelensky berkata lima komander tentera termasuk ketua pertahanan Azovstal telah dibawa ke Turkiye di atas persetujuan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Tahanan yang dibebaskan akan kekal di Turkiye “dalam keadaan selamat dan selesa” sehingga perang tamat, tambah Zelensky.

Sepuluh tawanan perang termasuk lima warga Britain dan dua warga Amerika Syarikat (AS), yang dipindahkan dari Rusia ke Arab Saudi pada awal kelmarin, juga termasuk dalam perjanjian pertukaran itu, kata Zelensky.

Pada Selasa, Erdogan memberitahu televisyen AS bahawa Rusia dan Ukraine telah bersetuju untuk membebaskan 200 tahanan dalam salah satu pertukaran terbesar dalam perang tujuh bulan itu.

Mariupol, sebuah bandar pelabuhan di Laut Azov Ukraine, telah berminggu-minggu menderita dalam pengeboman tanpa henti Rusia, dengan serangan ditumpukan ke atas terowong bawah tanah di kilang keluli Azovstal.

Keengganan tentera Ukraine untuk menyerah diri sungguhpun kekurangan peluru dan bekalan mendapat pujian di seluruh negara atas kepahlawanan mereka dalam menentang kuasa besar senjata dan tentera Rusia. — AFP  
 

Advertisement