Anda di sini

Program JMKM catat nilai jualan lebih RM25.80 juta

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang bermula pada pertengahan Ogos lepas di seluruh negara berjaya mencatatkan nilai jualan lebih RM25.80 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata program yang melibatkan lima kementerian itu sehingga kini juga merekodkan sebanyak 1.04 juta pengunjung.

 Rosol Wahid (kiri) membuat tinjauan bekalan minyak masak paket pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu. - Gambar Bernama
Rosol Wahid (kiri) membuat tinjauan bekalan minyak masak paket pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu. - Gambar Bernama

“Kesemua pihak yang diberi kuasa menjalankan program ini telah pun melaksanakannya dengan baik. Kementerian juga hampir 100 peratus telah melaksanakan program yang memberi peluang kepada rakyat terutama golongan B40 mendapatkan bekalan barangan keperluan pada harga yang murah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program JMKM di IQI Mart di Kampung Beladau Kepong, di sini pada Jumaat.

JMKM ialah program yang dijenamakan semula daripada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM). PJKM sebelum ini dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Untuk JMKM, pelaksanaannya melibatkan lima kementerian iaitu KPDNHEP, MAFI, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Rosol berkata sekiranya Program JMKM dilaksanakan dalam bentuk ekspo, kos tambahan akan diperlukan seperti utiliti, pemasangan khemah dan pengangkutan, justeru kaedah sekarang yang dilakukan secara serentak di premis terpilih dilihat lebih berkesan.

“Kerajaan pusat berpendapat pelaksanaan Program JMKM di premis terpilih di setiap Dewan Undangan Negeri seperti yang dilakukan sekarang menjimatkan kos logistik,” katanya mengulas mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahukan JMKM diadakan dalam bentuk ekspo.

Rosol berkata perkara itu sudah dibincangkan di bawah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk mengikut kaedah sedia ada. -- Bernama

Advertisement