Anda di sini

Peguam Ecuador hilang ditemui mati, polis buru suaminya

Advertisement
Saudara-mara Bernal bersama rakan-rakannya dan aktivis feminis mengadakan tunjuk perasaan selepas penemuan mayat Bernal di pusat bandar Quito kelmarin. — Gambar AFP
Saudara-mara Bernal bersama rakan-rakannya dan aktivis feminis mengadakan tunjuk perasaan selepas penemuan mayat Bernal di pusat bandar Quito kelmarin. — Gambar AFP

QUITO: Seorang peguam wanita muda ditemui dibunuh di Ecuador 10 hari selepas dia hilang, kata pihak berkuasa kelmarin, menandakan kes pembunuhan wanita terbaru di negara yang dibelengu keganasan terhadap wanita.

Mayat Maria Belen Bernal yang berusia 34 tahun ditemui di atas bukit kira-kira lima kilometer dari sekolah latihan polis Quito di mana dia hilang pada 11 September ketika melawat suaminya di sana, kata Menteri Dalam Negeri, Patricio Carrillo di Twitter.

Suaminya, Leftenan German Caceres, kini melarikan diri dan dianggap sebagai suspek utama dalam kematian wanita itu, menurut polis.

“Saya amat menyesali kematiannya, pembunuh wanita ini tidak akan terlepas daripada hukuman,” tegas Carrillo.

Presiden Guillermo Lasso, juga di Twitter, berikrar “pembunuh Bernal tidak akan terlepas daripada hukuman dan semua yang bertanggungjawab akan dihukum dengan undang-undang.”

Bernal hilang selepas memasuki kolej polis itu untuk melawat suaminya, menurut keluarganya.

Dua hari selepas Bernal  dilaporkan hilang, Caceres juga menghilangkan diri, menyebabkan dia diburu dan dipecat dari pekerjaannya.

Ketua sekolah latihan itu juga telah dipecat, dan kerajaan menawarkan ganjaran AS$20,000 untuk penangkapan Caceres.

“Kami tidak akan berehat sehingga kami membawa pembunuh itu ke muka pengadilan,” kata satu kenyataan polis.

Di Ecuador, jenayah pembunuhan wanita boleh dihukum sehingga 26 tahun penjara.

Menurut pejabat pendakwa raya, sekurang-kurangnya 573 pembunuhan wanita telah didaftarkan dalam populasi 17.7 juta penduduk Ecuador sejak 2014.

Pada bulan pertama 2022, berlaku 206 pembunuhan wanita, menurut Geraldine Guerra dari NGO Aldea yang menjejaki rekod pembunuhan wanita di negara itu.

Ini bersamaan dengan seorang wanita setiap 28 jam, katanya.

Data rasmi menunjukkan bahawa 65 daripada setiap 100 wanita Ecuador berumur 15 hingga 49 telah mengalami beberapa bentuk keganasan.

Pada Isnin lepas, seorang pendakwa raya yang menyiasat jenayah kebencian dan pembunuhan wanita, telah dibunuh di luar pejabat pendakwa raya Ecuador di Guayaquil, kata pihak berkuasa.

Edgar Escobar ditembak di luar bangunan tempat dia bekerja.

Jenayah dan keganasan semakin meningkat di Ecuador apabila kumpulan-kumpulan dadah menggunakan keganasan, terutamanya di Guayaquil dan di dalam sistem penjaranya.

Ecuador terletak di antara Colombia dan Peru, dua pengeluar terbesar kokain di dunia.

Pada 2021, kadar pembunuhan hampir mencapai dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, bersamaan dengan 14 pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk. — AFP 
 

Advertisement