Anda di sini

Keluarga pelajar Mexico hilang tuntut Israel ekstradisi suspek

Advertisement
Para pelajar dari Ayotzinapa menconteng grafiti di dinding kedutaan Israel di Mexico City semasa tunjuk perasaan kelmarin untuk menuntut Israel mengekstradisi Zeron berhubung dengan kehilangan 43 pelajar Mexico pada 2014. — Gambar AFP
Para pelajar dari Ayotzinapa menconteng grafiti di dinding kedutaan Israel di Mexico City semasa tunjuk perasaan kelmarin untuk menuntut Israel mengekstradisi Zeron berhubung dengan kehilangan 43 pelajar Mexico pada 2014. — Gambar AFP

MEXICO CITY: Saudara-mara 43 pelajar Mexico yang hilang pada 2014 telah membuat protes di luar kedutaan Israel kelmarin, menuntut ekstradisi seorang bekas penyiasat terkemuka berhubung kes itu.

Tomas Zeron, yang sebelum ini mengetuai Agensi Siasatan Jenayah Mexico, dituduh memanipulasi siasatan, menjadikannya salah satu tragedi ke atas hak asasi manusia yang paling teruk di negara itu.

Zeron ialah salah seorang peneraju dalam kes yang digelar “kebenaran sejarah”, versi rasmi kes yang dibentangkan pada 2015 yang ditolak oleh saudara-mara mangsa dan pakar-pakar bebas.

“Israel sedang melindungi Tomas Zeron, seorang pelanggar hak asasi manusia yang menyeksa mereka yang ditahannya ketika itu demi membina ‘kebenaran sejarah’,” kata Meliton Ortega, wakil keluarga pelajar kepada AFP.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan Israel di Mexico City, tanpa kehadiran polis.

Ada yang membawa gambar pelajar yang hilang manakala yang lain menconteng grafiti di dinding kedutaan.

Mexico sudah berulang kali meminta agar Israel menyerahkan Zeron, yang dituduh menculik, menyeksa suspek dan memanipulasi bukti – dakwaan yang dinafikannya.

Seramai 43 pelajar itu telah menaiki bas dari negeri selatan Guerrero untuk pergi ke demonstrasi di Mexico City sebelum mereka hilang.

Penyiasat berkata mereka telah ditahan oleh pegawai polis korup dan diserahkan kepada kartel dadah yang tersalah anggap mereka sebagai ahli kumpulan saingan, tetapi kejadian sebenar yang menimpa mereka telah dipertikaikan.

Setakat ini, hanya tiga mayat mangsa telah dikenal pasti.

Bulan lalu, suruhanjaya kebenaran yang ditugaskan oleh kerajaan untuk menyiasat kekejaman itu telah menggelar kes itu sebagai “jenayah negara” yang melibatkan ejen daripada pelbagai institusi.

Ia berkata bahawa anggota tentera memikul “tanggungjawab yang jelas” sama ada secara langsung atau akibat kecuaian.

Bulan lalu, pendakwa raya mengumumkan waran tangkap telah dikeluarkan untuk lebih 80 suspek, termasuk 20 anggota tentera, 44 pegawai polis dan 14 anggota kartel.

Pada hari yang sama, bekas peguam negara Jesus Murillo Karam, yang mengetuai penyiasatan “kebenaran sejarah” yang kontroversi itu, telah ditahan atas tuduhan memaksa kehilangan, penyeksaan dan menghalang keadilan.

Minggu lalu, kerajaan berkata seorang jeneral tentera dan dua lagi anggota tentera turut ditahan. — AFP 
 

Advertisement