
MIRI: Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
Nizam Alet, 27, dari Samarahan dan Firman Hipni, 32, dari Pujut Tanjung Batu di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Nizam didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.50 petang, 16 Jun tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.
Manakala Firman didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.40 tengah hari, 19 Julai lalu di pejabat BSJND Miri.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman dan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Michelle Lim Wan Chen.