Anda di sini

Batalion 12 RAMD laksana Projek Jiwa Murni

Advertisement
 Mohd Azamri (tengah), Biyazid (empat kanan) menyerahkan projek tersebut kepada Edismani.
SERAH: Mohd Azamri (tengah), Biyazid (empat kanan) menyerahkan projek tersebut kepada Edismani.

SEMPORNA: Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (12 RAMD Mekanize) melaksanakan Projek Jiwa Murni membina landskap di Sekolah Kebangsaan Kampung Pokas, di sini baru-baru ini.

Projek yang mendapat kerjasama daripada syarikat korporat HijrahLAND mengambil inisiatif membina Laman Minda Sihat Tangkas Gempur di sekolah berkenaan.

Pelaksanaannya telah dirancang oleh Ketua Kompeni C, Mejar Mohd Dzulkifli Mohd Nor dan projek ini telah dijayakan oleh seluruh warga Kompeni C, 12 RAMD (Mek).

Pegawai Memerintah 12 RAMD (Mek) Lt Kol Mohd Azamri Abdullah berkata, projek ini adalah cetusan ideanya bersama Pengarah Eksekutif HijrahLAND Mejar (B) Biyazid Reduan @ Redzuan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memberi ruang kepada Unit Bimbingan Kaunseling sekolah bagi melaksanakan aktiviti pemulihan kepada murid-murid di sekolah tersebut.

“Projek ini sangat bermanfaat untuk kegunaan sekolah berkenaan dan komuniti di kawasan perkampung ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat HijrahLAND kerana memberikan sumbangan dari segi material demi menjayakan projek landskap ini,” katanya.

Menurutnya, pondok asal Laman Minda Sihat yang sedia ada dilihat sudah usang dan ia menyukarkan guru-guru dan murid untuk melaksanakan program bimbingan kaunseling.

“Justeru, kami mengambil inisiatif membina semula dan menambah baik landskap ini supaya ia menjadi satu platform kepada guru-guru dan murid dalam pelaksanaan sesi kaunseling sekolah.

“Ia juga sekali gus memberi pendedahan kepada warga Kompeni C mengenai kepentingan khidmat sosial dan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk awam sekitar Pos Penempatan Tentera,” katanya.

Mohd Azamri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Guru Besar SK Kampung Pokas, Edismani Asri kerana memberikan kerjasama dalam menjayakan projek ini.

Majlis Penyerahan telah dirasmikan oleh Mohd Azamri dan disertai oleh Biyazid, Edismani, Pegawai Pendidikan Daerah dan anggota tentera Kompeni C, 12 RAMD (Mek).

  • oleh
  • Advertisement