Anda di sini

Ahmad Zahid syukur, mahkamah buktikan dirinya tidak bersalah

Advertisement

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, yang melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid (tengah) membaca doa selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Gambar Bernama
Ahmad Zahid (tengah) membaca doa selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Gambar Bernama

Ahmad Zahid, 69, berkata keputusan itu sejajar dengan keyakinan bahawa dirinya tidak bersalah dan percaya pelaksanaan sistem perundangan negara telah diteliti dan diperincikan oleh hakim dengan seadil-adilnya ke atas semua pertuduhan dikenakan terhadap beliau. 

“Bagaimanapun, saya harus reda dengan ujian ditimpakan ke atas saya...saya istiqamah dan amat yakin bahawa pertuduhan-pertuduhan itu tidak pernah saya lakukan serta amat yakin selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, ini adalah kejayaan perjuangan BN dan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi bangunan mahkamah di sini, selepas Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di akhir kes pendakwaan.

“Saya telah diaibkan, dimalukan dan ‘ditelanjangkan’ dengan pelbagai tanggapan serta telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘the court of public opinion’.

“Tetapi alhamdulilah, pada hari Jumaat ini penghulu segala hari, menyaksikan segalanya bahawa perundangan ditegakkan demi kebenaran,” katanya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan terima kasih kepada barisan peguamnya diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang menjalankan tugas secara profesional dan cemerlang.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada isteri, anak-anak, keluarga serta ahli dan seluruh kepimpinan UMNO atas sokongan diberikan selama ini.

Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. -- Bernama

Advertisement