Anda di sini

Tun Taib kurnia pingat Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada dua penerima

Advertisement
Tun Taib menyemat pingat Darjah Gemilang Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) kepada TYT Datuk Dr Othsman Hassan. - Gambar Penerangan
Tun Taib menyemat pingat Darjah Gemilang Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) kepada TYT Datuk Dr Othsman Hassan. - Gambar Penerangan

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengurniakan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada dua penerima di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Istiadat dimulakan dengan penerima pertama dikurniakan pingat Darjah Gemilang Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) Kehormat yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Dr Othsman Hassan.

Othsman yang juga Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja merupakan tokoh yang dihormati di peringkat antarabangsa berikutan sumbangannya dalam pembangunan Islam di Kemboja.

Tun Taib menyemat pingat Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) kepada TYT Westmoreland Edward Palan. - Gambar Penerangan
Tun Taib menyemat pingat Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) kepada TYT Westmoreland Edward Palan. - Gambar Penerangan

Istiadat kemudiannya diteruskan dengan penerima kedua, TYT Westmoreland Edward Palan yang dianugerahkan dengan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) membawa gelaran ‘Dato.’

Westmoreland berbangsa Bidayuh yang berasal dari Kampung Duras, Siburan merupakan Duta Besar Malaysia ke Holy See, Rome, Itali sejak Mac 2019.

Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit.
 

Advertisement