Anda di sini

TEGAS dan Shell sekali lagi anjur program 'Shell LiveWIRE Malaysia'

Advertisement
 

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menerusi Kampung Digital TEGAS menjalinkan usahasama dengan Shell Malaysia untuk sekali lagi menganjurkan program 'Shell LiveWIRE Malaysia.'

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh (gambar) berkata, ia merupakan program pembangunan perusahaan utama Shell untuk memperkukuhkan ekonomi tempatan di seluruh dunia dengan mempromosikan keusahawanan dan membangunkan usahawan.

Beliau berkata, 'Shell LiveWIRE Malaysia' mula diperkenalkan di Sarawak pada 2016, bertujuan merancakkan ekonomi tempatan menerusi keusahawanan, inovasi dan pekerjaan yang bermakna.

Ia mendapat sokongan daripada kerajaan Sarawak menerusi TEGAS pada 2017 yang seterusnya menjadi rakan strategik program itu dalam membangunkan syarikat pemula tempatan dan ekosistem keusahawanan di Sarawak, tambahnya.

Sehingga kini katanya, Shell telah melabur lebih RM3 juta dalam penganjuran program dan menganugerahkan kira-kira RM400,000 geran permulaan serta melatih lebih 400 usahawan baharu di Sarawak, yang kini telah menjadi pemilik perniagaan berjaya.

"Shell telah memainkan peranan besar dan penting dalam memperkenalkan program pembangunan perusahaan ini di Sarawak yang mempercepatkan pertumbuhan syarikat permulaan dan perusahaan sosial tempatan kita.

Program 'Shell LiveWIRE' membangunkan syarikat pemula tempatan dan ekosistem keusahawanan di Sarawak.
Program 'Shell LiveWIRE' membangunkan syarikat pemula tempatan dan ekosistem keusahawanan di Sarawak.

"'Shell LiveWIRE Malaysia' sejajar dengan misi kerajaan Sarawak menyokong perniagaan membangunkan penyelesaian dan produk baharu untuk pasaran domestik dan eksport, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19," katanya.

Len yang juga Pengerusi TEGAS berkata, "Inisiatif Shell dalam menyokong usahawan tempatan kita, sememangnya patut dipuji. 

"TEGAS berbangga menjadi rakan kongsi program ini sejak 2017. Kami telah menyokong 30 pemenang 'Shell LiveWIRE' dengan menyediakan geran tambahan dan akses kepada Kampung Digital TEGAS dan Hab Inovasi Digital di Kuching, Bintulu dan Miri.
 
"Alumni 'LiveWIRE' kami yang terkenal, antara lain termasuk Timogah.com, Ahmad Tamar dan UAS Mapping," tambahnya.

Permohonan kini dibuka untuk pendaftaran. Shell dan TEGAS sedang mencari usahawan Sarawak yang idea-ideanya akan menjana kehidupan dalam kelestarian alam sekitar, impak sosial dan inovasi perniagaan.

Program di Sarawak akan berlangsung di Kampung Digital TEGAS Sama Jaya High Tech Park di sini dari 31 Oktober 2022 hingga 5 November 2022.

Lima pemenang dari Sarawak akan menerima geran permulaan bernilai RM10,000 daripada Shell dan RM5,000 daripada TEGAS, akses percuma ke Kampung Digital TEGAS dan ruang kerja bersama Hab Inovasi Digital di Kuching, Bintulu dan Miri serta peluang memenangi tambahan RM30,000 di peringkat kebangsaan.

Selain itu, pemenang-pemenang akan diberi peluang untuk berhubung dengan ekosistem 'LiveWIRE' global dan berkongsi pengetahuan dengan kominiti usahawan di seluruh dunia, pada masa sama berpeluang bersaing merebut Anugerah Sepuluh Inovator Teratas Global Shell (tahunan).

Sementara itu, Pengasas Bintulucoffeescape dan pemenang 'Shell LiveWIRE' Sarawak 2021 Haslinda Hasbi berkata, program 'Shell LiveWIRE' telah membantu beliau menyusun strategi dan membuat perancangan untuk melebarkan idea-idea perniagaannya untuk dikembangkan menjadi perniagaan sebenar.

"Saya berminat untuk belajar lebih banyak daripada mentor saya kerana saya yakin kebijaksanaan yang mereka berikan akan membawa perniagaan saya ke tahap yang lebih tinggi," ujar Haslinda.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari https://livewire.shell.com.my/
 

  • oleh
  • Advertisement