Anda di sini

SUKMA XX: Adik-beradik sumbang emas dalam acara muay thai 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Tumpuan diberikan kepada acara muay thai di mana pasangan adik-beradik berjaya merangkul emas dalam sukan tersebut mengikut kategori yang diwakili mereka semalam.

Perlawanan pada sebelah petang menyaksikan Muhd Johan Ghazali Zulfikar bagi kategori 60 kilogram (kg) berjaya menyumbang emas dengan kemenangan TKO menentang Melaka.

Johan berjaya menundukkan lawannya dalam masa 33 saat pada pusingan kedua sebelum perlawanan itu ditamatkan.

Sementara itu, abangnya pula, Eliaz Ghazali Zulfikar turut meraih kemenangan dalam sukan itu bagi kategori 63.5 kg semasa menentang peserta dari Terengganu dalam saingan peringkat akhir.

Eliaz berjaya menewaskan lawannya menerusi tiga pusingan dengan markah 30-27 di South City Plaza Seri Kembangan, di sini semalam.

Chef de Mission kontinjen Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada kedua-dua wakil tersebut yang dapat menaikkan kedudukan pingat Sarawak.

"Kita bangga Sarawak mampu meraih dua emas dalam acara sukan ini sekali gus ia dapat menaikkan kedudukan kita dalam carta pungutan emas.

"Begitu juga pasukan sorak, kita turut mengucapkan kepada pasukan sorak yang sentiasa menyokong dan kuat memberikan semangat kepada pasukan," katanya.

Gerald menambah, pihaknya berharap agar untuk pertandingan lain dapat berusaha untuk menambah pingat emas untuk Sarawak.

Hadir sama menyaksikan saingan akhir itu ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Nancy Jolhi serta tetamu lain.
 

  • oleh
  • Advertisement