Anda di sini

Sarawak rekod 3,067 tangkapan dadah dan substans dari Jun hingga Ogos 

Advertisement
Fatimah bersama Ayob Khan pada sidang media di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Fatimah bersama Ayob Khan pada sidang media di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 3,067 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah dan substans dalam tempoh Jun hingga Ogos lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia hasil 2,009 operasi bersepadu penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Sisastan Jenayah Narkotik (JSJN); Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

"Hasil operasi tersebut, sebanyak 3,067 tangkapan telah direkodkan. 

"Daripada itu 207 adalah melibatkan pengedaran, 672 memiliki dadah dan substans, dan 2,188 adalah individu yang disaring positif urin.

"Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 70.57 peratus berbanding dengan tangkapan dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 (1,798 tangkapan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan One Stop Committe (OSC) bagi menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menerima kunjungan daripada Pengarah JSJN Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Fatimah berkata, melalui operasi tersebut, sebanyak 11.30 kg dadah dan substans berbentuk mampat dan 841 berbentuk pil dirampas oleh JSJN dan JKDM dengan anggaran nilai berjumlah RM714,944. 

Katanya, impak rampasan dadah itu mampu menyekat sebanyak 113,930 kali penggunaan dadah dan substans terlarang dan menyelamatkan 47,338 individu bagi tempoh sebulan.

Sementara itu pada tempoh sama katanya, seramai 10 orang atau 1.76 peratus ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak mempunyai kaitan dengan isu dadah dan substans. 

"Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 71.42 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2021 (35 orang)," katanya.

Beliau turut memaklumkan sepanjang tempoh Jun hingga Ogos 2022, seramai 558 banduan di Sarawak dipenjarakan kerana pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans.
 
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2021 (186 orang).

"Untuk memastikan mereka yang terjebak daripada terus menyalahguna dadah dan substans, rantaian MIDS kita memberi fokus kepada tindakan intervensi berbentuk rawatan dan pemulihan. 

"Setakat 31 Ogos 2022, seramai 2,490 orang direkodkan menjalani rawatan dan pemulihan," tegasnya.

Menurut Fatimah daripada jumlah tersebut 216 orang sedang menjalani pemulihan dalam institusi di PUSPEN, 2,274 lagi dalam komuniti (1,956 OKP (AADK), 180 OKP (PDRM), 63 di One Stop Centre for Addiction (OSCA) dan 75 secara sukarela di PUSPEN Kuching.
 

  • oleh
  • Advertisement