Anda di sini

Sarawak bolot emas boling berpasukan wanita buat kali ketiga berturut-turut

Advertisement
 

PETALING JAYA: Skuad boling wanita Sarawak terus membuktikan mereka adalah kuasa besar dalam sukan itu apabila berjaya meraih pingat emas acara pasukan berlima Sukan Malaysia (Sukma) buat kali ketiga berturut-turut semalam.

Kejayaan itu dilakar menerusi aksi bertenaga Gillian Lim Siew Giok, Asya Dania Azree, Lavina Kho Jia Jie, Nur Hazirah Ramli dan Nur Aina Kamalia Abdul Ayub yang menjatuhkan 5,882 pin di Sunway Megalanes di sini.

Perak, yang diwakili Alya Addini Zulmari, Tuan Nurin Ellina Tuan Zamzuri, Jessica Ting Shuet Yee dan Nuratiqa Syauqina Hasmadi dan Nor Baitul Ayu Atisya Mohamad Ayob, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi 5,560 jatuhan pin. 

Gangsa menjadi milik Selangor yang menjatuhkan 5,508 pin menerusi Adelia Nur Irwan Syazalee, Nur Diyana Jalaluddin, Nurdayini Iman Noor Azrin, Aneesa Deyas Asri dan Nur Nais Falilnesa Isman. 

Mengulas kejayaan yang diraih, atlet kebangsaan Gillian berkata pasukan itu sebelum ini sememangnya berdisplin ketika latihan dalam misi mempertahankan emas dan memastikan skuad tersebut meneruskan kecemerlangan buat kontinjen Sarawak.

“Kami sepasukan memang tak nak putus asa walaupun ini Sukma terakhir saya... emas hari ini memberi keyakinan kepada saya bahawa dua rakan saya mampu pertahankan kejuaraan pada Sukma akan datang.

“Misi kami belum selesai, masih ada lagi acara masters yang perlu diperjuangkan,” katanya kepada pemberita malam ini.

Kategori lelaki menyaksikan Wilayah Persekutuan yang dibarisi Matthew Ong Tzi Ming, Ahmad Azriq Izamudin, Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh, Haikal Hazlan dan Muhammad Hazim Alhanafiah menggungguli emas selepas menjatuhkan 6,029 pin.

Perak menjadi milik Sarawak dengan 5,884 jatuhan pin menerusi Abnor Loo Chun Lik, Tsen Fan Yew, Mohd Zuhayr Redza Noor Azrul, Musayyar Khalid dan Abang Afiq Yazid.

Terengganu, yang diwakili Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan, Muhammad Zafran Yahya, Muhammad Alif Syafiq Halim, Muhammad Alif Syafie Halim dan Ahmad Hazim Syahmi Nik Mat, pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas menjatuhkan 5,842 pin. - BERNAMA 
 

Advertisement