Anda di sini

Pemuda Indonesia dipenjara dua tahun, tiga sebatan kerana miliki dadah

Advertisement
Tertuduh Mukhsin (tengah) diiring polis keluar dari bilik tahanan mahkamah Kuching hari ini.
Tertuduh Mukhsin (tengah) diiring polis keluar dari bilik tahanan mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Gara-gara memiliki 5.51 gram Methamphetamine, seorang pemuda warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Muksin, 26, untuk dikuatkuasakan mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 April lalu. 

Lelaki yang merupakan pekerja ladang itu menukar pengakuannya kepada bersalah dalam perbicaraan kes pada hari ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 April lalu, sekitar jam 3 petang di sebuah rumah tidak bernombor di kebun durian Kampung Tematu, di sini. 

Menurut fakta kes, tertuduh ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Padawan kerana disyaki terlibat kegiatan dadah.

Semasa pemeriksaan lanjut dilakukan di ruang tamu rumah, pihak polis menjumpai satu beg kecil di dalamnya mengandungi 16 peket plastik kecil lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 13.85 gram.

Semasa dalam tempoh siasatan, barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian makmal.

Laporan kimia pada 25 Mei lalu mendapati ketulan-ketulan kristal itu mengandungi Methamphetamine dengan berat bersih 5.51 gram.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama. 

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta dikenakan minimum tiga sebatan dan maksimum sembilan sebatan. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement