Anda di sini

KPT rancang tubuh universiti wanita

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang untuk menubuhkan sebuah universiti khas untuk wanita, yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Menterinya Datuk Seri Noraini Ahmad (gambar) berkata ketika ini bilangan mahasiswi di institut pendidikan tinggi awam ialah lebih 350,000 iaitu 61 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar, manakala lebih 530,000 iaitu 53 peratus pelajar wanita memasuki institut pengajian tinggi swasta.

“Malaysia kini mempunyai 131,000 pelajar antarabangsa dan kami menyasarkan 250,000 orang kemasukan pelajar antarabangsa menjelang 2025. Peningkatan ini termasuk penambahan besar badan pelajar yang terdiri daripada wanita.

“KPT menyambut baik sebarang cadangan untuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang akan memberi faedah bersama,” katanya semasa berucap dalam satu sesi membina jaringan hubungan di sini hari ini. 

Noraini berkata hanya terdapat satu universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 teratas QS World University Rankings (WUR) 2023 dan empat daripada lima universiti penyelidikan tempatan tersenarai dalam kedudukan 200 teratas carta tersebut.

“Secara keseluruhannya, 24 universiti kita telah menunjukkan peningkatan ranking, menjadikan tahun ini antara yang paling berjaya dalam pendidikan tinggi berdasarkan ranking. Jika kita menubuhkan universiti untuk wanita, saya percaya kami boleh membantu universiti itu untuk turut berjaya dalam QS WUR,” katanya.

Noraini berkata KPT komited dalam memperkukuh kerjasama dan mengurangkan halangan dalam perkhidmatan pendidikan bersama rakan antabangsanya.

“Kami percaya pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan meningkatkan persaingan sekali gus menambah baik kualiti dalam kalangan lulusan universiti.

“Kami juga menyasarkan sistem pendidikan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dan masyarakat,” katanya dan menambah selari dengan objektif itu, institut pendidikan tinggi telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA).

Beliau berkata tahun ini, beliau berpeluang untuk menyaksikan pemeteraian 12 MoU dan satu MoA di India, Qatar, United Kingdom, Romania, Turkiye, dan Kanada. 

“Kerjasama ini diadakan bagi memudahkan kolaborasi penyelidikan dan aktiviti inovasi, program mobiliti pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar bersama dan banyak lagi,” katanya.

Noraini berkata usaha lain yang dijalankan kementerian itu ialah penubuhan program luar negeri oleh universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia yang melaksanakan program itu di Turkiye dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal memulakan programnya di Qatar bulan depan.

“UKM akan turut membuka kampus cawangannya di Doha pada 2025, menjadikan ia universiti awam pertama yang mempunyai kampus fizikal di luar negara.

“Selain itu, perbincangan sedang dijalankan mengenai penubuhan Kerusi Pengajian Melayu di Jawaharlal Nehru University di India dan di Pusat Pengajian Orang Timur dan Afrika di University of London," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement