Anda di sini

Kontinjen Para SUKMA Sarawak sasar 64 pingat emas, pertahan kejuaraan

Advertisement
Fatimah bersama atlet Para SUKMA Sarawak yang bakal menggalas tugas penting memastikan Sarawak mempertahankan kejuaraan pada Para SUKMA 2022. - Gambar Roystein Emmor
Fatimah bersama atlet Para SUKMA Sarawak yang bakal menggalas tugas penting memastikan Sarawak mempertahankan kejuaraan pada Para SUKMA 2022. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Pasukan Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak menyasar 64 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur dari 2 hingga 6 November depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berharap atlet para Sarawak akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan rekod cemerlang Sarawak sebagai juara 13 tahun berturut-turut sejak 1994.

Beliau berkata, untuk kejohanan kali ini, kontinjen Sarawak akan bertanding dalam 10 acara sukan iaitu olahraga, badminton, boccia, catur, boling padang, angkat berat, pingpong, tenpin boling dan renang.

"Di Para SUKMA 2022, kita (Sarawak) menyasar juara untuk kali ke-14.

"Seperti dimaklumkan, pasukan Para SUKMA Sarawak menyasar 64 emas  iaitu 26 dari sukan olahraga, renang (18), badminton (2), ping pong (2), tenpin boling (4), boccia (2), boling padang (2), catur (2), angkat berat (6).

"Manakala memanah, atlet masih baharu, sudah perlu sedikit masa untuk merekod prestasi cemerlang seperti atlet-atlet lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Kira Detik 40 hari lagi ke Para SUKMA 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Fatimah berkata, kontinjen Sarawak yang terdiri daripada 168 atlet para, 84 pegawai pasukan, 35 sekretariat dan 25 anggota perubatan akan bertolak ke Kuala Lumpur pada 30 Oktober sebelum kejohanan bermula pada 2 November.

"Selepas empat tahun termasuk SUKMA ditunda pada 2020 dan 2021 kerana pandemik COVID-19, Para SUKMA akan diadakan semula.

"Dalam tempoh ini, atlet dan pegawai kita telah meneruskan latihan untuk bersiap sedia menghadapi saingan dan kerana kegigihan serta semangat kental mewakili Sarawak, saya yakin mereka mampu mempertahankan nama baik Sarawak selaku juara bertahan sebanyak 13 kali berturut-turut sejak 1994,” katanya.

Beliau turut menasihati atlet supaya meneruskan latihan dengan lebih fokus, kekuatan dan mentaliti tinggi untuk menang supaya sasaran individu dapat dicapai dan Sarawak muncul juara sekali lagi.

"Kejayaan atlet dan pasukan sukan OKU akan diberi insentif di atas pencapaian mereka," katanya.

Pada majlis sama Fatimah mengumumkam Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Radzi Sitam telah dilantik sebagai Chef de Mission Kontinjen Para SUKMA 2022 Sarawak.

"Kita menyasarkan untuk menjadi juara sekali lagi di Kuala Lumpur buat kali ke-14 berturut-turut dan kita akan melakukannya dengan usaha bersepadu semua," katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Dr Rasidah Bolhassan.
 

Advertisement