Anda di sini

Kerajaan sasar 1,000 hektar projek tanaman semula koko menjelang 2023

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan projek penanaman semula koko di Malaysia mencapai 1,000 hektar menjelang 2023 bagi meningkatkan pengeluaran koko negara.

Timbalan Menteri Datuk Willie Mongin berkata sejak projek itu bermula, sejumlah 700 hektar telah ditanam dengan koko melibatkan 150 hektar di Sarawak, 350 hektar di Sabah dan selebihnya 200 hektar di Semenanjung Malaysia.

“Sekiranya projek penanaman semula ini berjaya, semestinya prospek untuk penanaman koko di masa akan datang akan menjadi lebih baik.

“Dengan kemajuan yang dilakukan oleh Lembaga Koko Malaysia, banyak teknologi dan juga ubat-ubatan untuk membantu petani kita membasmi serta menghalang penyakit berlaku, sekarang dengan cara penanaman dan penyelenggaran koko yang baik sudah semestinya mendapat pulangan yang tiggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menutup Kursus Latihan Super Koko (PSK) Sarawak di sini hari ini.

Willie berkata pekebun dan pengusaha koko juga digalakkan terlibat dalam sektor hiliran koko seperti pengeluaran serbuk koko dan blok coklat yang dilihat lebih lumayan dan menguntungkan.

“Bagaimanapun kita perlu memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat. Kalau kita beri penekanan kepada sektor hiliran sahaja, kita tidak ada huluan maka kita tidak akan ada sumber bahan mentah…kita saling memerlukan, huluan dan hiliran,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement