
SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara tujuh hari terhadap seorang pemuda yang menjadi keldai akaun kerana memiliki wang sebanyak RM17,200 secara salah.
Nelson Badindang, 24, didakwa memilki wang tersebut di sebuah bank Jalan Kampong Nyabor pada 1 November 2018, kira-kira jam 2.21 petang dan pada 2 November 2018, kira-kira jam 1.52 petang.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda sehingga RM500, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu berusia 47 tahun telah menerima mesej daripada seorang Pegawai Marin yang bernama Sandra Samantha Castro, yang memberitahu mahu mengirimkan hadiah kepadanya.
Pada 1 November 2018, kira-kira jam 3 petang, pengadu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil Jabatan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang memberitahu diplomat Syria bernama Gonzales Brown Gabriel telah tiba di KLIA bersama bungkusan yang dihantar kepada pengadu.
Wakil kastam terbabit memberitahu bungkusan itu telah ditahan dan pengadu perlu membuat bayaran untuk ia dilepaskan. Pengadu kemudian membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan melalui enam transaksi secara dalam talian membaitkan wang berjumlah RM17,200.
Setelah bayaran itu dibuat, pengadu terus diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu, seterusnya membuat laporan polis.
Siasatan pihak polis mendapati akaun bank yang digunakan adalah milik tertuduh.