Anda di sini

JSJN hargai sumbangan, kerjasama kerajaan Sarawak tangani isu dadah

Advertisement
Ayob (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fatimah semasa kunjungan hormat tersebut. Turut kelihatan Razi (kiri). - Gambar Muhammad Raiz Sanusi
Ayob (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fatimah semasa kunjungan hormat tersebut. Turut kelihatan Razi (kiri). - Gambar Muhammad Raiz Sanusi

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai sumbangan dan kerjasama kerajaan negeri dalam menangani isu-isu dadah. 

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pendekatan holistik iaitu kerjasama di antara semua agensi kerajaan di negeri ini adalah satu modul yang patut dilaksanakan di setiap negeri.

Menurutnya, pendekatan tersebut perlu untuk memastikan isu berkaitan dadah ini dapat dibendung secara total. 

"Di Sarawak, jelas kerjasama atau pendekatan holistik yang melibatkan semua agensi kerajaan dalam menangani isu dadah.

"Ini adalah modul yang saya rasa perlu dilaksanakan di semua negeri kerana isu dadah ini tidak boleh ditangani secara bersendirian," ujarnya pada sidang media mesyuarat bulanan One Stop Committe (OSC) bagi menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) di sini, hari ini.

Katanya, langkah seterusnya selepas pesalah dadah diambil tindakan adalah yang paling penting untuk mengelakkan mereka terjebak kembali.

"Polis boleh tangkap dan tuduh di mahkamah, tetapi hakikatnya selepas menjalani hukuman dan pemulihan adalah langkah paling penting untuk memastikan mereka tidak lagi terlibat dadah.

"Sekiranya tiada pendekatan holistik daripada agensi lain seperti di Sarawak, saya yakin isu dadah ini sukar ditanggani," katanya.

Justeru, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas kerjasama yang diberikan kepada JSJN Sarawak khususnya.

Beliau terdahulunya melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejateraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohamad Razi Sitam.
 

  • oleh
  • Advertisement