Anda di sini

JPBNS telah buat persiapan rapi hadapi musim tengkujuh

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah membuat persiapan rapi menghadapi musim tengkujuh (monsun timur laut) yang diramal menyebabkan hujan lebat dan ribut petir di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak diramal mengalami musim tengkujuh bermula Disember tahun ini hingga Januari tahun depan.

"Kita mengadakan rundingan yang bermanfaat mengenai persiapan menghadapi musim tengkujuh bersama semua pentadbiran di peringkat bahagian, semua jabatan dan badan-badan yang relevan di seluruh negeri," katanya selepas mempengerusi mesyuarat melalui aplikasi Zoom semalam.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengenal pasti 310 'lokasi panas' banjir di seluruh negeri.

"Terdapat 73 (lokasi panas banjir) di bahagian Sibu, 52 di Sri Aman, 42 di Kuching, 40 masing-masing di Samarahan dan Miri, 32 di Bintulu dan 31 di Limbang.

"JBPM Sarawak juga telah mengenal pasti 97 lokasi jalan raya yang berisiko tinggi terputus hubungan (akibat banjir) dengan kebanyakannya iaitu 42 terletak di Sibu.

"Terdapat juga 77 kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian tanah runtuh dan Sibu sekali lagi merekodkan jumlah tertinggi iaitu 32," katanya.

Uggah berkata JBPM negeri telah menyenaraikan 1,590 pegawai dan anggota sedia dikerah bertugas sepanjang tempoh tersebut.

"Mereka akan mendapat sokongan daripada 9,187 anggota daripada 921 pasukan Bomba Komuniti, 8,624 anggota di bawah Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) dan lain-lain," katanya.

Dari segi logistik, Uggah berkata JBPM Sarawak dilengkapi 48 bot, 16 lori, 87 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah helikopter.

Manakala kira-kira 1,663 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Sarawak (Pasukan Gerakan Am, Marin, Unit Udara, Ibu Pejabat Polis Bahagian dan Daerah) akan terlibat menghadapi musim tengkujuh, katanya.

PDRM dilengkapi 52 lori, 109 kenderaan pacuan empat roda, 119 kereta, 35 van, ambulans dan bas masing-masing sebuah, tambahnya.

"Bagi operasi laut dan sungai, mereka menyediakan 647 pelbagai aset seperti jetski, bot dan jaket keselamatan.

"Polis juga telah mengenal pasti 631 pusat pemindahan sementara yang dapat menampung 188,360 mangsa iaitu melibatkan sekolah, dan pusat-pusat komuniti.

"Sementara itu Jabatan kebajikan Masyarakat telah menyediakan Depo Simpanan Keperluan Bencana untuk menyimpan bekalan makanan dan barangan keparluan lain.

"Kira-kira 1,971 pegawai dan sukarelawan akan membantu di pusat-pusat pemindahan sementara ini," katanya.

Uggah berkata Sarawak Coastguard yang baru ditubuhkan juga akan dilengkapi dengan enam kapal terbang pemintas, enam bot panjang dan 100 anggota.

Mengenai aset penting lain, beliau menambah negeri ini mempunyai 245 stesen taburan hujan, 280 telemetri dan 114 stesen paras air.

Sementara itu, beliau berkata kursus tiga hari akan diadakan di Sibu bulan depan bagi mempersiapkan lagi mereka yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Uggah juga berterima kasih kepada Sultan Johor Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail kerana sudi menderma 6,400 khemah kepada JPBNS yang merupakan program di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
 

  • oleh
  • Advertisement