Anda di sini

Empat maut selepas Taufan Nanmadol melanda Jepun

Advertisement
Papan iklan yang tumbang akibat angin kencang menghempap sebuah skuter di Fukuoka di pulau Kyushu pada Isnin ketika Taufan Nanmadol mendarat di wilayah barat daya Jepun sehari sebelumnya. — Gambar AFP
Papan iklan yang tumbang akibat angin kencang menghempap sebuah skuter di Fukuoka di pulau Kyushu pada Isnin ketika Taufan Nanmadol mendarat di wilayah barat daya Jepun sehari sebelumnya. — Gambar AFP

TOKYO: Dua orang disahkan maut manakala dua lagi ditemui “tanpa tanda-tanda kehidupan” selepas Taufan Nanmadol melanda Jepun pada hujung minggu, kata jurucakap kerajaan kelmarin.

Ribut itu mendarat di bandar barat daya Kagoshima pada malam Ahad, dan membawa hujan lebat merentasi wilayah Kyushu sebelum bergerak di sepanjang pantai barat.

Menjelang pagi kelmarin, ia telah reda sedikit menjadi siklon ekstratropika ketika menyeberang ke pantai timur laut dan menuju ke laut.

Ribut itu menumbangkan pokok, memecahkan tingkap dan membawa hujan bersamaan dengan sebulan dalam tempoh 24 jam di bahagian wilayah Miyazaki, di mana kedua-dua kematian disahkan.

Jurucakap kerajaan, Hirozaku Matsuno berkata dua orang lagi telah ditemui “tanpa tanda-tanda kehidupan,” istilah yang sering digunakan di Jepun sebelum kematian disahkan secara rasmi oleh koroner.

Dia berkata pihak berkuasa kini sedang mencari seorang yang dilaporkan hilang.

Sekurang-kurangnya 114 orang cedera.

Setakat awal kelmarin, kira-kira 140,000 rumah masih terputus bekalan elektrik di seluruh negara, kebanyakannya di Kyushu.

Jepun kini dilanda musim taufan dan menghadapi sekitar 20 ribut sedemikian dalam setahun.

Para saintis berkata perubahan iklim menambah kekuatan ribut dan mendorong cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan banjir kilat untuk terjadi lebih kerap dan teruk. — AFP 
 

Advertisement