Anda di sini

Chong fail notis rayuan dalam kes saman fitnah 'black hole'

Advertisement
Chong (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini. Turut kelihatan ADUN Pending, Violet Yong.
Chong (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini. Turut kelihatan ADUN Pending, Violet Yong.

KUCHING: Pasukan peguam Chong Chieng Jen telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini berhubung satu kes saman fitnah kerajaan Sarawak ke atasnya.

Chong (defendan) yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata, notis rayuan itu telah difailkan pada 12 September 2022, selepas keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Ogos 2022 memihak kepada kerajaan negeri dan pihak Berkuasa Kewangan Sarawak (SFA) selaku plaintif dalam kes saman fitnah 'black hole' ke atasnya.

Mahkamah Tinggi juga mengarahkan Chong membayar ganti rugi RM150,000 dan RM50,000 lagi kepada plaintif.

Chong berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu telah memberi kesan yang meluas kepada undang-undang Komanwel dan demokrasi.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi itu akan menjadi contoh untuk kerajaan mempunyai 'sebab tindakan' saman fitnah ke atas individu tertentu.

"Tidak pernah menjadi undang-undang mana-mana negara Komanwel, kerajaan boleh menyaman seseorang individu kerana memfitnah. Kes ini telah menjadi 'satu kebiasaan' dan menyekat kebebasan bersuara serta hak mengkritik kerajaan.

"Maknanya, jika mana-mana individu membuat kenyataan, contohnya mengatakan kerajaan ini tidak pandai, berguna, dia akan dikatakan memfitnah. Ini bertentangan dengan mana-mana prinsip undang-undang yang ada di dalam negara-negara Komenwel, malah di AS (Amerika Syarikat) atau sistem undang-undang yang lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Stampin itu berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu memberi kesan kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan dalam mentadbir urusan kerajaan.

"Dengan mengetepikan jumlah denda dikenakan, mengikut prinsip undang-undang, kami berpendapat keputusan itu salah. Oleh itu, kami menfailkan rayuan.

"Notis rayuan telah difailkan, ia akan disusuli rekod rayuan, perkara-perkara yang akan dibawa ke Mahkamah Rayuan untuk penentuan dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya sama ada penghakiman Mahkamah Tinggi telah berkuat kuasa, Chong berkata, "Selepas kami memfailkan notis rayuan, ia terpulang sama ada Jabatan Peguam Negara Sarawak mahu menguatkuasakannya."

"Malah dalam kes ini, kita berjaya membatalkan kes di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum perbicaraan. Terdapat kos terhadap kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri enggan membayar kos itu dan kita tidak menguatkuasakannya kerana kerajaan negeri telah mengemukakan rayuan, jadi kami serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Saya fikir 'gerak isyarat' itu harus dibalas. Pada peringkat awal (kes) iaitu pada 2013 atau 2014, kami berjaya membatalkan kes itu," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement