Anda di sini

Bot pemancing karam, SAR seorang lagi mangsa dijangka disambung pagi esok

Advertisement
Salah satu mayat yang telah ditemui ketika SAR dibawa ke jeti untuk tindakan lanjut.
Salah satu mayat yang telah ditemui ketika SAR dibawa ke jeti untuk tindakan lanjut.

MUKAH: Seorang masih hilang, manakala dua mayat dijumpai dan lapan terselamat dalam kejadian bot pemancing karam di perairan Mukah pada Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot bernombor pendaftaran SF2-2837 itu membawa 11 penumpang termasuk tekong dan pemancing.

"Mereka bertolak dari Jeti Penakub Mukah pada 19 September untuk memancing di laut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun katanya, keesokannya pada kira-kira jam 8.30 malam di kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari barat laut Mukah, bot berkenaan telah karam.

Pada Rabu, sebuah kapal MT Capella yang sedang menuju ke Pelabuhan Kuching dari Pelabuhan Bintulu menjumpai dua mangsa lelaki hanyut di perairan Mukah sekitar jam 3 petang.

Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching telah mengetuai Operasi Carilamat Maritim bagi mencari sembilan mangsa yang masih hilang dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti LKIM Mukah bermula jam 8 pagi Khamis.

Keluasan sektor pencarian pada hari pertama adalah 78.40 batu persegi. 

Antara pihak yang turut serta dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) ialah Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Sarawak Shell.

Sementara itu, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mukah Kapten (PA) Zuriza Sharkawi yang turut berada di PHC berkata, seorang anak kapal masih hilang.

Kesemua yang terselamat telah dibawa ke Hospital Mukah, manakala mayat mangsa dibawa ke rumah mayat hospital sama. 

Mangsa yang terselamat ialah Wong Ching Hie, Lingsan Spawi, Anuar Spawi, Lewis, Cheing Hock Hung, Wong Ting Ping, Chong Fei Fuu dan Lee Siu Soon.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Wong Siaw Tiong dan Sabli Jun, manakala mangsa yang masih gagal dijumpai ialah Wong Ik Kong.

Operasi hari ini ditangguh pada jam 5.15 petang dan dijangka disambung semula pagi esok.
 

  • oleh
  • Advertisement