Anda di sini

ATB 2 bakal terima 20 aset bot tempur

Advertisement
 Yazid (tengah) bergambar kenangan bersama penduduk Pulau Denawan.
KENANGAN: Yazid (tengah) bergambar kenangan bersama penduduk Pulau Denawan.

SEMPORNA: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) bakal menerima 20 aset bot tempur baharu pada tahun hadapan bagi mengawal keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM berkata, pihaknya berusaha menggantikan aset-aset bagi tujuan operasi ATB 2 dilakukan secara berterusan.

Katanya, Kementerian Pertahanan turut mempunyai perancangan untuk melaksana program Government Operate, Company Own And Maintain (GOCOM) terhadap beberapa aset yang ketika ini tidak ada dalam perkhidmatan.

“Kita faham perkhidmatan mempunyai komitmen terhadap operasi mereka, jadi yang mana tidak dapat dibekalkan oleh perkhidmatan akan dibuat konsep GOCOM.

“Sebagai contoh untuk kenderaan pacuan empat roda, kenderaan pengangkutan, dron dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui pada Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) di Pulau Danawan, di sini hari ini.

Menurutnya, ATB 2 telah mengambil alih sepenuhnya kawasan tanggungjawab Operasi Persisir Pantai dan Operasi Benteng yang telah disatukan di bawah Op PASIR pada 1 Januari 2022 yang lalu.

“Op PASIR telah dilaksanakan sejak 7 April 2007 di sepanjang Pantai Timur Sabah bagi mengekang kegiatan jenayah Rentas Sempadan seperti penyeludupan dan kemasukkan Pendatang Tanpa Izin (PTI),” katanya.

Mengulas mengenai program CIMIC, beliau berkata ianya dapat mewujudkan kerjasama efektif antara komuniti setempat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Malah dapat meningkatkan kesedaran mengenai peranan rakyat bersama membantu memperkasakan pertahanan dan keselamatan negara terutamanya di kawasan ESSZONE.

“Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi dan peranan ATM,” katanya.

 Yazid menyampaikan bantuan beg dan peralatan alat tulis sekolah kepada murid sekolah di pulau berkenaan.
SUMBANGAN: Yazid menyampaikan bantuan beg dan peralatan alat tulis sekolah kepada murid sekolah di pulau berkenaan.

Yazid berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada penduduk Pulau Denawan, selain  mengeratkan lagi kerjasama ATM, masyarakat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya peranan semua pihak dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Pada program itu sebanyak RM62,000 nilai sumbangan dalam pelbagai bentuk telah diagihkan kepada penduduk di pulau berkenaan.

Turut hadir, Komander Markas ATB 2 Jeneral Abdul Karim Ahmad; Asisten Ketua Staf J2, Jeneral Datuk Md Rahim Mohamad dan Pegawai Memerintah 4 Rajimen Ranger Diraja, Lt Kol Mohd Haidzar Arshad.

  • oleh
  • Advertisement