Anda di sini

26 Okt semakan kehakiman pelantikan Arun Nyaling sebagai KK Kg Ba Abang

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 26 Oktober depan untuk mendengar semakan kehakiman berhubung pelantikan Arun Nyaling sebagai Ketua Kaum Kampung Ba Abang, Akah di Baram.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Dean Wayne Dally setelah mendengar penghujahan peguam bela yang mewakili pihak pemohon serta tiada bantahan daripada Pejabat Peguam Negara Putrajaya.

Selain itu, mahkamah mendapati pemohon telah memenuhi syarat untuk pemohon mendapatkan kebenaran melakukan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut.

Lapan penduduk terbabit terdiri daripada Patricia Helen Eyong, Billy Hung, Eprim Sulau Panai, Ah Heng Musang, Handry Lolee, Roland Emang, Mike Erang Panai dan Panai Irang.

Manakala permohonan itu dibuat bagi mewakili masyarakat kaum Penan Kampung Ba Abang, Akah, Baram dan dikemukakan menerusi firma guaman Tetuan Roland Engan & Co.

Dalam permohonan itu, Arun Nyaling sebagai ketua kampung dilantik telah dinamakan sebagai reponden pertama.

Manakala Residen Bahagian Miri, Setiausaha Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak masing-masing dinamakan sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.

Permohonan ex-parte itu telah difailkan pada 21 Julai tahun ini bagi memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden kedua, ketiga dan keempat dalam pelantikan Arun Nyaling sebagai ketua kaum Kampung Ba Abang, Akah.

Permohonan itu juga meminta perintah mandatori untuk mengiktiraf dan melantik pemohon kelapan, Panai Irang sebagai ketua kaum asal Ba Abang yang dipilih oleh penduduk kampung.

Kelapan-lapan pemohon dalam afidavit yang dikemukakan menegaskan bahawa pelantikan Panai Irang telah mendapat sokongan dan persetujuan oleh penduduk kampung.

Tambahan, Panai merupakan ketua kaum yang telah dan sedang memimpin penduduk di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, namun tidak diberikan surat pelantikan, sebaliknya pelantikan diberikan kepada individu lain yang bukan merupakan penduduk asal Ba Abang.

Selain itu, keputusan yang tidak munasabah tersebut juga dilihat sebagai bertentangan dengan hak mereka dalam mengamalkan amalan tradisi kaum Penan dalam memilih ketua kaum serta menentang, menindas dan memudaratkan mereka  serta melanggar keadilan semula jadi.

  • oleh
  • Advertisement