Anda di sini

Sarawak pertama di Malaysia benar perniagaan teroka karbon, alam semula jadi

Advertisement
Abang Johari melakukan acara simbolik semasa  majlis Makan Gala sempena Persidangan AsiaFlux 2022 di Kuching, malam Selasa. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari melakukan acara simbolik semasa  majlis Makan Gala sempena Persidangan AsiaFlux 2022 di Kuching, malam Selasa. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang membenarkan aktiviti perniagaan teroka karbon dan alam semula jadi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bukti usaha negeri ini untuk berada di barisan hadapan dalam mitigasi perubahan iklim.

“Sarawak baru-baru ini telah meminda Ordinan Hutan negeri 2015 untuk mengawal selia aktiviti karbon hutan selaras dengan usaha bagi  mengurangkan kesan perubahan iklim di bawah Perjanjian Paris.

 "Dengan pindaan itu, Sarawak dapat mewujudkan asas yang kukuh, memanfaatkan mekanisme pasaran dan kerjasama pihak berkepentingan ke arah kelestarian alam sekitar," katanya ketika berucap pada pada majlis Makan Gala sempena Persidangan AsiaFlux 2022 di sini, malam Selasa.

Menurut Abang Johari, Sarawak juga telah meminda Kanun Tanah Negeri bagi membolehkan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon sebagai satu lagi penyelesaian untuk mengurangkan perubahan iklim.  

Beliau memberitahu, karbon kredit yang dijana boleh didagangkan dalam pasaran karbon.

Sehubungan itu, ujarnya, Sarawak akan terus menyokong penyelidikan saintifik dan pemantauan ke atas hutan dan ekosistem tanah pertanian.

“Hutan kita dan ekonomi kita adalah dua sisi yang sama. Jika kita tidak dapat mengekalkan hutan dan tanah pertanian, kita tidak akan dapat mengekalkan diri kita dan ekonomi Sarawak.

“Ia adalah 'khazanah negara', dan kerajaan Sarawak, sebagai penjaga rakyat komited untuk melindunginya," ujar beliau.

Abang Johari memberitahu Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika (TROPI) telah menyokong dan melaksanakan pengukuran pusaran fluks, yang merupakan kaedah yang diterima secara meluas untuk mengesahkan inventori fluks karbon dalam alam sekitar.

“Komitmen kerajaan negeri terhadap kelestarian alam sekitar boleh dilihat melalui sokongan terhadap kajian menara Eddy Flux TROPI.

"Berdasarkan kajian tersebut, Sarawak, melalui usaha pengesahan TROPI telah mengambil tempat dalam rangkaian global untuk menjana data saintifik empirikal bagi lebih memahami ekosistem tanah gambut tropika," katanya.

Menurutnya, kajian TROPI akan membantu Sarawak menyumbang kepada anggaran belanjawan gas rumah hijau (GHG) global untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris bagi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050 atau lebih awal sekali gus mengelak titik puncak 1.5 celcius pemanasan pada tahap pra-industri.

Beliau mengakui Sarawak, kerajaan, syarikat, dan rakyatnya komited ke arah menetapkan piawaian dan mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB, termasuk alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).

“Pada masa sama, pertimbangan ESG pertama iaitu kelestarian alam sekitar adalah salah satu daripada tiga tonggak yang mendukung objektif Strategi Pembangunan Sarawak Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 negeri,” katanya.

Mengenai Persidangan Asiaflux 2022, Abang Johari berkata, penganjurannya telah menarik minat para saintis dan penyelidik dari seluruh dunia dengan kepakaran dalam pelbagai bidang ke Sarawak.

Beliau harap selepas persidangan itu, ia dapat menyumbang kepada penemuan penting berkaitan kitaran karbon dan pelepasan GHG antropogenik. 

“Seterusnya dapat mewujudkam inisiatif untuk meminimumkan kesan negatif kepada perubahan iklim, termasuk keselamatan makanan atau bencana alam yang berlaku secara kerap akibat kejadian cuaca yang melampau.

"Kita, sebagai penggubal dasar komited untuk menangani perubahan iklim melalui kajian yang dijalankan oleh organisasi seperti TROPI bagi mengumpul data saintifik yang terkini untuk lebih memahami dan bertindak balas terhadap isu iklim semasa,” ujarnya.

Tambahnya, dasar yang sesuai akan direka bentuk dan disampaikan berdasarkan tindakan yang komprehensif dan praktikal di lapangan.

  • oleh
  • Advertisement