Anda di sini

Peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen bagi lindungi hak negeri Borneo - Karim 

Advertisement
Abdul Karim bersalaman dengan atlet Sarawak semasa lawatannya ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Abdul Karim bersalaman dengan atlet Sarawak semasa lawatannya ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak adalah bagi melindungi hak-hak negeri Borneo.

Beliau berkata, walaupun ini meningkatkan keupayaan untuk pelantikan Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi Borneo, namun ia juga memerlukan sokongan parti lain yang membentuk kerajaan.

“Saya tidak melihat sejauh itu bagi mempunyai jawatan PM dan TPM kerana untuk itu ia perlu mendapat sokongan.

"Sokongan daripada parti atau parti yang menang yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya," katanya pada sidang media di Hotel Berjaya Times Square di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menjelaskan, pandangan Perdana Menteri dan parti lain dalam kerajaan persekutuan bersetuju mengenai perkara itu sangat menarik.

"Pandangan untuk kerusi yang disandang Sabah dan Sarawak mesti dikembalikan kepada nisbah 35 peratus sebelum ini merupakan perkara yang baik.

"Ini kerana, nisbah Malaysia Timur semasa berada pada 25 peratus kerana kerusi yang disandang Singapura sebelum ia meninggalkan Malaysia diberikan kepada Malaya.

"Mereka yang memahami undang-undang tahu bahawa pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen," katanya.

Menurut Abdul Karim, sebab itu nisbah 35 peratus itu penting, ia adalah perlindungan khas untuk hak Sabah dan Sarawak.

“Mengikut nisbah semasa, Malaya memegang lebih daripada dua pertiga daripada kerusi, bermakna mereka boleh menggunakan cara mereka untuk meminda perlembagaan,” katanya.

Tambahnya lagi peruntukan untuk mempunyai satu pertiga daripada kerusi sementara tidak dinyatakan, rujukan mengenainya dibuat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement