Anda di sini

Mayat pelancong Itali ditemui di Andes Peru 

Advertisement
 Anggota penyelamat menguruskan mayat Fedele yang dijumpai di  gunung Chicon di Andes Peru kelmarin. — Gambar AFP
AKHIRNYA DITEMUI: Anggota penyelamat menguruskan mayat Fedele yang dijumpai di  gunung Chicon di Andes Peru kelmarin. — Gambar AFP

LIMA: Peronda gunung tinggi menemui mayat seorang pelancong Itali yang hilang 80 hari lalu ketika mendaki di Andes Peru, kata pihak polis kelmarin.

Alberto Fedele, berusia 30 tahun, telah meninggalkan kampung Urubamba di wilayah tenggara Cusco pada 4 Julai, menuju ke tasik Juchuycocha berhampiran gunung Chicon yang setinggi 5,500 meter.

Polis berkata dia dipercayai terbunuh dalam kejadian tanah runtuh.

“Kami telah mengesan dan menemui mayat warga Itali yang hilang beberapa minggu lalu,” kata jurucakap pasukan polis gunung tinggi Cusco kepada AFP melalui telefon.

Peronda mendaki cerun Chicon pada Sabtu di mana penduduk tempatan telah melihat mayat tersebut.

Mereka menemui gambar pasport Fedele dan telefon bimbitnya di dalam poket jaketnya, kata agensi berita tempatan Andina.

Mayat telah dipindahkan ke bilik mayat di Urubamba untuk meneruskan siasatan, kata jurucakap polis itu.

Mayat Fedele ditemui di kawasan “liar dan lasak”, sebab itulah pihak polis telah membuat andaian bahawa dia mati dalam kejadian tanah runtuh, kata Andina.

Urubamba, sebuah bandar berpenduduk 15,000 orang terletak sekitar 50 kilometer di utara bandar Cusco – dahulu kala ibu kota empayar Inca – mempunyai ramai pelancong yang membuat perjalanan ke kubu Inca Machu Picchu, tapak pelancongan paling terkenal di Peru. — AFP

Advertisement